Tumpu Fokus Utama Parti Menjelang PRU, Elak Layan Persepsi – Sharkar

KUALA LUMPUR, 7 Julai – Seluruh ahli UMNO diharap dapat memberi tumpuan dan fokus utama untuk berdepan dengan Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang dalam usaha membantu parti mencapai kemenangan bagi berkhidmat kepada rakyat.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin berharap agar jentera parti pelbagai peringkat tidak melayani usaha dan pelbagai lontaran pihak-pihak tertentu yang cuba menganggu-gugat ‘mood’ UMNO untuk terus bergerak ke depan.

Beliau percaya akan ada usaha daripada musuh politik parti untuk melihat segala perancangan dan segala persiapan yang telah dibuat selama ini terbantut sekaligus memudahkan mereka untuk melemahkan parti apabila menjelangnya PRU nanti.

“Biar pun tarikh pilihan raya umum terus menjadi teka-teki, kita di peringkat parti umumnya sudah tahu bagaimana masing-masing telah pun melaksanakan persediaan dengan sebaiknya. Musuh politik sudah pasti tidak mahu melihat kesiapsiagaan ini berterusan.

“Jadi pelbagai provokasi dan pelbagai andaian serta persepsi yang dilontarkan hanyalah sekadar untuk kita masing-masing bertelagah dan inilah hasrat mereka sebenarnya. Justeru inilah masanya untuk kita sama-sama berganding menolak segala persepsi yang cuba ditimbulkan,” katanya kepada UMNO-Online.

Sharkar turut bersyukur UMNO dan Barisan Nasional (BN) semakin hari semakin kukuh dengan masing-masing pelbagai peringkat memainkan peranan tersendiri tanpa menoleh ke belakang sebaliknya bergerak ke depan.

Jelas beliau usah dilayan sebarang persepsi yang yang hanya sekadar untuk menimbulkan kegelisahan dan perdebatan sesama sendiri di kalangan ahli UMNO sebaliknya terus istiqamah dengan hala tuju yang telah digariskan.- UMNO Online

Oleh: Azman Abas

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.