Wanita UMNO Rakam Takziah, Harap Mangsa Banjir Bersabar Dengan Musibah – Norshida

KUALA LUMPUR, 6 Julai – Ketua Penerangan Wanita UMNO, Datuk Norshida Ibrahim berharap mangsa insiden banjir dan fenomena kepala air yang berlaku di Baling bersabar dengan musibah yang melanda apatah lagi tinggal beberapa hari sahaja seluruh umat Islam bakal menyambut Aidiladha.

Dalam satu kenyataan, beliau turut mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa korban dan seluruh mangsa yang terlibat dengan banjir tersebut dan maklumnya, Wanita UMNO telah pun berada di lapangan dalam usaha membantu pelbagai agensi kerajaan dan sebagainya.

“Takziah kepada keluarga mangsa terkorban dan seluruh mangsa yang terjejas dengan banjir tersebut. Saya mendoakan dipermudahkan dalam menghadapi musibah berkenaan dan diberi kekuatan oleh Allah swt.

“Wanita UMNO setempat telah pun berada di lapangan membantu agensi yang berkaitan dan saya berharap semua mangsa yang dipindahkan dapat mendengar segala makluman dan arahan terkini daripada pihak berkuasa bagi melicinkan operasi berkaitan,” katanya.

Memetik laporan, seramai 334 mangsa banjir dari sembilan kampung di daerah ini dipindahkan ke beberapa Pusat Pemindahan Sementara (PPS) setakat jam 2 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat, berkata setakat ini sebanyak 85 rumah dilaporkan terjejas berikutan bencana yang berlaku kira-kira jam 4 petang semalam itu.

“Selain itu, seramai 1,008 pelajar di Sekolah Menengah Agama Yayasan Al-Khairiah yang turut terkesan dalam bencana itu berada di sekolah terbabit ketika kejadian dan berada dalam keadaan baik.

“Keadaan air di sekolah itu juga sudah surut, cuma keadaan kawasan sekitar sekolah yang masih berlumpur,” katanya ketika ditemui di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Jerai di sini, awal pagi ini

Insiden banjir dan fenomena kepala air yang berlaku di Baling telah mengakibatkan tiga nyawa terkorban manakala beratus-ratus penduduk ditempatkan di beberapa pusat pemindahan sementara dan lebih 80 rumah terjejas.

Norshida seterusnya berharap pihak-pihak yang berkaitan dapat melaksanakan sebaiknya segala bentuk keperluan dan sebagainya lagi demi keselesaan mangsa-mangsa banjir.

“Kita faham dan sedar mangsa banjir bukan sahaja kehilangan harta benda…apatah lagi yang kehilangan ahli keluarga tentunya perasaan masing-masing bercampur-baur. Kita percaya kerajaan melihat perkara ini sebaik mungkin,” ujarnya.- UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.