Tambahan Anggota Bomba Ke Baling Ikut Situasi Semasa – Reezal Merican

KUALA LUMPUR, 6 Julai – Tambahan anggota bomba dari negeri lain untuk membantu mangsa banjir di Baling, Kedah akan disalurkan dengan segera berdasarkan situasi serta keperluan semasa, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Beliau berkata setakat ini, kekuatan pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) adalah seramai 146 orang melibatkan anggota dan pegawai kanan JBPM Kedah serta empat pasukan khas iaitu Pasukan Operasi SAR, Pasukan Penyelamat di Air, Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia dan Pasukan Unit Dron.

Reezal Merican berkata pasukan itu turut melibatkan tiga unit sokongan dari Perlis, Perak dan Pulau Pinang.

“Maklumat terkini kejadian banjir di Baling mencatatkan 270 mangsa dari 17 kampung yang terjejas telah berjaya diselamatkan dan ditempatkan di pusat pemindahan sementara terdekat.

“Saya turut menerima laporan mutakhir masa nyata daripada Pengarah Bomba Negeri mengenai keadaan semasa di Baling khususnya di kawasan yang masih lagi dalam keadaan berjaga-jaga,” menurutnya dalam kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook rasmi beliau semalam.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh berhubung dengan Pegawai Penyelaras PBSD Baling iaitu Farid Zakwan di talian 04-4701 279 atau 018- 4689 767.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata atas dasar Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) Prihatin dan kebersamaan Keluarga Malaysia terhadap mangsa banjir, sukarelawan Universiti Awam dan Yayasan Sukarelawan Siswa turut digerakkan ke kawasan terjejas.

“Sebagai permulaan, KPT menggerakkan lebih 400 sukarelawan secara berperingkat bagi menyantuni keperluan mangsa banjir dengan menyediakan pelbagai bentuk bantuan dan sumbangan termasuk kerja-kerja pembersihan, pembekalan pakaian dan bekalan stok makanan serta penjagaan kendiri kepada yang memerlukan,” menurutnya dalam kenyataan.

Insiden banjir dan fenomena kepala air yang berlaku pada kira-kira 4 petang semalam di Baling telah mengakibatkan tiga nyawa terkorban manakala beratus-ratus penduduk ditempatkan di beberapa pusat pemindahan sementara dan lebih 80 rumah terjejas. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.