Banjir: KPLB Akan Bina Segera Jambatan Sementara Di Kampung Iboi

BALING, 6 Julai – Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) akan membina segera jambatan sementara selepas Jambatan Lata Celak di Kampung Iboi di sini runtuh dan dihanyutkan air berikutan banjir dan fenomena kepala air yang berlaku di daerah ini, petang Isnin.

Menterinya Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata tindakan itu penting untuk memudahkan penduduk kampung untuk berulang alik ke sekolah dan masjid berdekatan.

“Kita akan buat sambungan jambatan di sungai kampung ini yang membolehkan penduduk menyeberang ke sekolah dan masjid, kita buat jambatan sementara dahulu sebab kalau nak buat jambatan konkrit yang siap sepenuhnya memakan masa,” katanya kepada pemberita selepas meninjau kesan banjir di sekitar Kampung Iboi di sini semalam.

Mahdzir berkata segala bantuan berkaitan pembaikan atau pembinaan infrastruktur serta rumah yang rosak akibat bencana itu akan dikoordinasi oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU).

“Kita bersetuju semua sekali dikoordinasi oleh ICU dan semua agensi lain itu akan ikut ICU,” katanya sambil memaklumkan KPLB mempunyai peruntukan segera untuk kerja-kerja membaik pulih kemudahan yang terjejas akibat bencana itu namun ia memerlukan penelitian sebelum peruntukan diluluskan.

Beliau berkata KPLB menerusi pihak GiatMARA akan membantu membaik pulih rumah penduduk yang rosak akibat bencana berkenaan yang dianggarkan kira-kira 70 rumah.

Ditanya sama ada terdapat premis KPLB seperti tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) turut terjejasa susulan bencana itu, Mahdzir berkata ia tidak melibatkan premis KPLB namun terdapat kakitangan Kemas terlibat dengan banjir berkenaan.

Kejadian banjir dan fenomena kepala air yang berlaku petang semalam itu mengorbankan tiga beranak manakala tujuh rumah musnah dihanyutkan arus deras.

Untuk rekod, Kerajaan Persekutuan menyalurkan bantuan peringkat awal bernilai RM1,000 kepada setiap keluarga mangsa banjir di sini manakala keluarga yang terlibat dengan kehilangan nyawa akan diberi sumbangan bernilai RM10,000.

Dalam laporan media hari ini, Setiausaha Politik Perdana Menteri Datuk Mohammad Anuar Mohd Yunus dipetik sebagai setakat ini sumbangan telah disalurkan kepada lebih 100 keluarga yang ditempatkan di beberapa pusat penempatan sementara (PPS) di sini. – BERNAMA

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.