Melaka Diiktiraf Antara Lima Negeri Peroleh Pelaburan Tertinggi – Ab Rauf

MELAKA, 5 Julai – Melaka diiktiraf antara lima negeri memperoleh nilai pelaburan tertinggi di Malaysia iaitu sebanyak RM3 bilion dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini, oleh Lembaga Pembangunan Industri Malaysia (MIDA).

Exco Kanan Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan Usahawan negeri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata daripada keseluruhan nilai pelaburan yang diterima itu sebanyak RM2.6 bilion disumbangkan menerusi sektor pembuatan.

“Melaka berada di kedudukan kelima negeri yang merekodkan nilai pelaburan tertinggi dan menjadi pilihan pelabur selepas Kedah di kedudukan pertama diikuti Pulau Pinang, Sabah dan Selangor.

“Salah satu pelaburan terbesar yang direkodkan di Melaka ialah menerusi kilang pembuat cip Jerman, Infineon Technologies (Malaysia) Sdn Bhd yang telah bertapak sejak 1973 dengan jumlah pelaburan kumulatif lebih daripada RM14 bilion.

“Walaupun di Malaysia Infineon melabur di tiga negeri tetapi kilang mereka yang terbesar adalah di Melaka dengan jumlah pekerja melebihi 10,000 orang dan pusat penyelidikan dan pembangunannya juga di Melaka,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Bangunan Baharu Infineon Technologies (Malaysia) Sdn Bhd di Batu Berendam di sini hari ini.

Majlis berkenaan dirasmikan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali dan turut dihadiri Pengarah MIDA Melaka Jaibalan Harirajan.

Ab Rauf berkata selaras dengan kedudukan Melaka yang kini menjadi antara pilihan pelabur tempatan dan asing, pelbagai inisiatif dilaksanakan untuk menarik minat pelabur, antaranya cadangan membuka kawasan perindustrian baharu seluas 1,618.7 hektar di Alor Gajah.

Beliau berkata cadangan berkenaan dalam proses penelitian menyeluruh dalam pelbagai aspek bagi memastikan pembangunan kawasan itu dapat memenuhi keperluan pelabur di negeri itu dan ia akan diputuskan dalam masa terdekat.

Sementara itu, Sulaiman berkata kerajaan negeri akan memberi tumpuan kepada pelaburan pembuatan semikonduktor, elektrik dan elektronik kerana kilang berkenaan dilihat mampu memberi banyak peluang pekerjaan baharu kepada anak tempatan.

Beliau berkata sebagai contoh, Melaka menerima pelaburan baharu berjumlah RM3.5 bilion daripada Infineon Technologies (Malaysia) Sdn Bhd dan nilai pelaburan berkenaan dijangka akan terus meningkat dari semasa ke semasa.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Infineon Technologies (Malaysia) Sdn Bhd kerana telah lama bertapak di Melaka sejak lebih 50 tahun dan merupakan antara kilang terbesar menggajikan pekerja yang kebanyakan datang dari Melaka.

“Kita berharap kilang ini akan terus berada di Melaka dan mengembangkan sayapnya dalam sektor pembuatan secara lebih meluas pada masa hadapan,” katanya.

Terdahulu Sulaiman berkata bangunan baharu 11 tingkat milik kilang itu yang antaranya menempatkan pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) dengan nilai pelaburan sebanyak RM250 juta telah mula beroperasi sepenuhnya Jun lepas. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.