Koperasi Agromakanan Boleh Mohon Pinjaman Skm Untuk Kembangkan Aktiviti

PUTRAJAYA, 5 Julai – Koperasi yang terbabit dalam sektor agromakanan boleh memohon pinjaman mudah melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) bagi mengembangkan aktiviti tersebut, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Tan Sri Noh Omar.

Beliau berkata keutamaan diberikan kepada koperasi sektor agromakanan yang aktif menjalankan aktiviti pengeluaran makanan seperti penternakan ayam dan pertanian.

“Kita akan beri keutamaan kepada koperasi yang aktif, contohnya mahu menambah reban ayam atau tanah untuk pertanian.

“Sudah pasti mereka ingin kembangkan aktiviti penghasilan agromakanan sekali gus bantu hasrat kerajaan untuk tingkatkan industri agromakanan serta perkukuhkan sekuriti makanan negara,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Apresiasi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi di sini hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika merasmikan Majlis Sambutan Bulan Koperasi Kebangsaan 2022 pada 2 Julai mengumumkan peruntukan sebanyak RM100 juta di bawah Tabung Agromakanan dan diletakkan di bawah SKM bagi membantu koperasi mengembangkan industri agromakanan khususnya penternakan ayam.

Noh berkata proses permohonan pinjaman dengan SKM tidak memerlukan sebarang cagaran serta tidak perlu mengikut syarat pinjaman seperti yang dikenakan institusi perbankan.

“Ini berbeza untuk mudahkan koperasi yang ingin kembangkan aktiviti agromakanan,” katanya.

Sementara itu, Noh berkata beliau telah mengadakan perbincangan dengan 74 pengendali koperasi yang terlibat dalam penyediaan makanan di institusi pengajian tinggi (IPT) untuk menyediakan ‘Menu Keluarga Malaysia’ selaras dengan saranan perdana menteri semalam.

Ismail Sabri dalam kenyataan yang dikeluarkan sempena mesyuarat Majlis Tindakan Kos Sara Hidup Negara (NACCOL) mengumumkan kerajaan akan memperkenalkan Menu Keluarga Malaysia di restoran yang dikendalikan koperasi termasuk kafeteria dan premis jualan makanan di IPT sebagai alternatif bagi mendapatkan hidangan pagi, tengah hari dan malam pada harga yang berpatutan.

“Saya sarankan mereka sediakan menu terbabit pada harga yang lebih murah iaitu antara 10 dan 15 peratus berbanding harga di restoran biasa,” kata Noh. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.