Food@Campus Keluarga Malaysia Diteruskan

PUTRAJAYA, 5 Julai – Cakna isu kenaikan harga barang yang turut memberi impak terhadap kuasa beli pelajar terutamanya bagi keperluan makanan harian, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) memutuskan untuk meneruskan kesinambungan inisiatif pemberian baucar makanan percuma kepada pelajar B40 di institut pengajian tinggi (IPT), FOOD@CAMPUS Keluarga Malaysia.

Bagi tujuan itu Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata Yayasan Kebajikan Siswa Keluarga Malaysia (YKS) bersetuju menyumbangkan dana sebanyak RM1 juta bagi inisiatif FOOD@CAMPUS Keluarga Malaysia 2.0.

“Saya harap FOOD@CAMPUS Keluarga Malaysia 2.0 dapat terus menyantuni kebajikan pelajar dalam meringankan beban perbelanjaan harian,” kata Noraini dalam ucapannya ketika melancarkan FOOD@CAMPUS Keluarga Malaysia 2.0 di sini hari ini.

“Secara tidak langsung, inisiatif ini membolehkan mahasiswa untuk fokus kepada pengajian mereka tanpa perlu risau tentang aspek kelangsungan hidup yang akhirnya boleh menjejaskan tumpuan mereka terhadap pengajian,” tambahnya.

Inisiatif FOOD@CAMPUS Keluarga Malaysia mula dilaksanakan sejak 2021 di bawah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM).

Noraini berkata menerusi inisiatif itu sebanyak 470,444 baucar makanan percuma telah diberikan kepada 94,088 pelajar B40 bersasar di semua IPT melalui suntikan dana berjumlah RM7,056,660 dengan RM1 juta daripadanya disumbangkan oleh YKS.

YKS yang dilancarkan pada 29 Okt lepas oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga penaung yayasan itu, digerakkan dengan tujuan menguruskan kebajikan dan penyaluran bantuan secara bersepadu, selain memperkasakan peranan dan kebolehupayaan wakil Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK).

Untuk tempoh pertengahan pertama 2022 sehingga Jun pula, Noraini berkata 369,504 baucar makanan telah diedarkan untuk manfaat seramai 176,083 pelajar universiti awam (UA).

“Pelaksanaan ini telah disokong melalui sumber peruntukan dalaman sebanyak RM5.5 juta hasil sumbangan wakaf, zakat, tajaan individu dan agensi-agensi kebajikan,” katanya.

Noraini seterusnya menyeru syarikat swasta atau badan bukan kerajaan untuk bersama dengan KPT bagi menjayakan inisiatif Food@Campus Keluarga Malaysia 2.0 supaya ia dapat diperluaskan pelaksanaannya kepada lebih ramai pelajar berkeperluan. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.