PM Ismail Sabri Adakan Lawatan Ke Turkiye Atas Jemputan Presiden

ISTANBUL, 4 Julai – Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan memulakan lawatan rasmi empat hari ke Turkiye bermula Selasa ketika kedua-dua negara berusaha untuk mengukuhkan hubungan dua hala dan ekonomi serta kerjasama dalam industri aeroangkasa dan pertahanan.

Duta Besar Malaysia ke Turkiye Sazali Mustafa Kamal berkata semasa lawatan itu, yang diadakan atas jemputan Presiden Recep Tayyip Erdogan, kedua-dua pemimpin dijangka menyentuh mengenai kerjasama pascapandemik COVID-19.

“Pertemuan julung kali dua pemimpin utama negara Islam ini pastinya membuka lebih banyak peluang kerjasama antara kedua-dua negara. Selain membincangkan kerjasama dua hala, isu Ukraine dan keselamatan makanan turut dijangka dibincangkan,” katanya pada sidang media bersama wartawan Malaysia di sini pada Isnin.

Perdana Menteri dijadualkan bertemu Presiden Turkiye di Kompleks Presiden di Ankara pada Khamis, diikuti mesyuarat delegasi antara Malaysia dengan Turkiye.

Pada lawatan itu, Ismail Sabri akan diiringi Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah, Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Adham Baba, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad, Panglima Tentera Udara Jen Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan dan Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Zamrose Mohd Zain.

Perdana Menteri akan menaiki penerbangan ke Istanbul pada pagi Selasa untuk memulakan lawatan rasmi.

Setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen Istanbul (ISGIA), beliau akan diberikan taklimat mengenai lapangan terbang itu yang dimiliki dan diuruskan oleh Malaysia Airports Holding Bhd (MAHB), yang penglibatannya dalam ISGIA bermula pada 2008 dan kini menjadi satu daripada simbol mercu tanda hubungan perniagaan Malaysia-Turkiye.

Lapangan terbang itu, satu daripada dua lapangan terbang antarabangsa di Istanbul terletak di bahagian Asia daripada dua benua di Istanbul dan dinamakan sempena nama juruterbang pejuang wanita pertama di dunia, Sabiha Gökçen.

“MAHB telah melabur kira-kira 500 juta euro dalam projek lapangan terbang Sabiha dan sedang meninjau lebih banyak projek sedemikian di negara ini,” katanya mengenai lapangan terbang kedua terbesar di Turkiye serta terminal dan landasan tunggal tersibuk di dunia itu.

Selepas melawat ISGIA, Perdana Menteri akan menjadi hos pada majlis makan tengah hari untuk Keluarga Malaysia yang menetap di negara itu, sebelum mengadakan pertemuan dengan komuniti perniagaan Turkiye, katanya dan menambah kira-kira 15 memorandum persefahaman (MoU) dan Surat Niat dijangka ditandatangani semasa lawatan itu.

Sazali berkata Turkiye adalah rakan kongsi perdagangan ketiga terbesar Malaysia di Timur Tengah selepas Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dengan jumlah perdagangan antara dua negara merekodkan RM16.97 bilion (AS$4.09 bilion) pada 2021, dan projek dilaksanakan bernilai RM444.59 juta (AS$130.91 juta).

Pada 2021, Malaysia mengeksport minyak sawit dan produknya bernilai lebih AS$1.06 bilion bagi menampung permintaan yang semakin meningkat, khususnya dalam industri makanan Turkiye serta industri penjagaan diri dan rumah.

Sazali berkata pada Rabu, Perdana Menteri akan ke ibu negara Ankara dan dijadualkan melawat dua penggiat utama dalam industri pertahanan dan aeroangkasa di negara itu iaitu MKE Corporation dan Turkish Aerospace Industries (TAI).

Pembukaan semula sempadan juga dijangka memulihkan industri pelancongan antara dua negara selepas pandemik COVID-19, kata Sazali sambil menambah sebanyak 107,000 rakyat Malaysia berkunjung ke negara itu pada 2019 manakala 15,000 rakyat Turkiye melawat Malaysia.

Kedua-dua negara menjalinkan hubungan diplomatik pada 1964. – BERNAMA

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.