Bung Terima Ijazah Kehormat

KOTA KINABALU, 3 Julai Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima (Dr) Bung Moktar Radin dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Sains Politik sempena pengumuman naik taraf kolej Jesselton kepada Kolej Unversiti Jesselton (JUC) dan konvokesyen pertama kolej tersebut di Marriott Hotel kemarin.

Bung yang juga Menteri Kerja Raya berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sastera (Kajian Dasar dan Analisis) Fakulti Sains Politik Unversiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menerima penganugerahan dari Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Malaysia Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad yang merasmikan majlis konvokesyen tersebut.

Ijazah kehormat tersebut dianugerahkan kepada Bung di atas jasa bakti dan sumbangannya dalam bidang politik, pendidikan, kebajikan dan kemasyarakatan di negeri ini.

Selain Bung turut menerima anugerah yang sama Ahli Dewan Negara yang juga Pengarah Asia Coding Centre Sdn Bhd Senator Datuk Arman Azha Abu Hanifah.

Turut menyaksikan majlis penganugerahan tersebut Naib Censelor (JUC) Prof Dr. Siti Aminah Berhan, Timbalan Naib Canselor Naib (JUC) Prof. Datin Dr Noor Hamizah Hanifah.

Kolej Jesselton yang kini akan dikenali sebagai Kolej Universiti Jesselton (JUC) setelah menerima kelulusan dari Menteri Pengajian Tinggi Malaysia, Datuk Seri Dr Noraini Binti Ahmad kepada penasihat korporat Kolej Jesselton, Prof Datin Dr Noor Hamizah Hanifah baru-baru ini.

Untuk rekod JUC ditubuhkan pada 10 Oktober 1988 dan peningkatan taraf kepada kolej universiti adalah bukti komitmen institusi ini dalam menyediakan pendidikan tinggi yang cemerlang dan berkualiti kepada pelajar dari seluruh Asia.

Institusi ini telah menunjukkan rekod prestasi yang cemerlang dan terbukti, yang telah meluaskan jejaknya ke jangkauan global.

Selain sebagai institusi pengajian tinggi yang diiktiraf sejak sekian lama di Malaysia, ia juga telah menjejakkan kakinya di beberapa negara di seluruh dunia.

JUC ialah institusi bertauliah ASIC, UK, pusat berlesen OTHM, UK, dan ahli AHEA, AS.

Menurut Presiden (JUC) Professor Dr Datuk Chin Yuk Fong, pencapaian sejarah kedua-dua institusi dan Sabah ini juga menandakan bahawa Kolej Universiti Jesselton adalah kolej tempatan pertama yang dinaik taraf di Sabah.

“Rakyat Sabah kini dapat menikmati peluang yang lebih luas untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi hasil daripada peningkatan ini” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Menteri Pengajian Tinggi kerana memberi kepercayaan kepada institusi itu dalam membangunkan industri pengajian tinggi swasta Sabah dan berikrar untuk terus berkhidmat kepada masyarakat, negeri dan negara dengan membangunkan lebih ramai bakat yang menyumbang kepada pembangunan pelbagai industri di negara ini.

Sementara itu, Bung ketika ditemui selepas upacara itu berkata, beliau sangat berbesar hati di atas pengiktirafan berkenaan dan sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan (JUC) dalam pelbagai bidang terutama nya pendidikan.

“Inilah kali pertama saya mendapat anugerah seperti ini dan saya akan melihat bagaimana saya boleh gunakan pengalaman saya dalam bidang politik ini untuk membantu pihak universiti pada masa akan datang,” katanya.

Di majlis seramai 70 orang graduan menerima skrol mereka masing-masing yang disampaikan oleh Senator Datuk Arman Azha Abu Bakar dan Bung juga turut diberikan peluang untuk menyampaikan skrol kepada para graduan sempena majlis konvokesyen tersebut. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.