KPKT Lihat Pendekatan Bantu Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi Dalam Pemulihan Ekonomi

KUALA LUMPUR, 1 Julai – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan melihat kepada pendekatan lebih kreatif supaya dapat bekerja secara kolektif bersama Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi dalam usaha memulihkan ekonomi negara dan menangani inflasi.

Menterinya Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata arahan telah diberikan kepada Ketua Setiausaha kementerian itu Datuk M Noor Azman Taib dan pengurusan tertinggi bagi melihat perkara berkenaan.

“Sebagai ahli Jemaah Menteri, amat penting untuk saya turut melihat perkara ini secara dasar yang menyentuh peranan kementerian sekurang-kurangnya dalam dua perspektif iaitu pertama merangsang komuniti perniagaan melalui peranan pihak berkuasa tempatan (PBT) seperti pelesenan dan kelulusan pembangunan.

“Kedua, memastikan peruntukan kementerian dibelanjakan sepenuhnya mengikut garis masa yang telah ditetapkan dalam separuh kedua tahun 2022 ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata ia merupakan sebahagian daripada usaha pasukan KPKT dalam menghadapi cabaran secara kolektif bersama Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi khususnya menangani cabaran kos sara hidup pada masa ini.

Reezal Merican menyifatkan penubuhan pasukan khas itu merupakan petanda jelas bahawa isu ekonomi dan kos sara hidup rakyat menjadi tumpuan utama kerajaan dalam masa terdekat ini.

Beliau berkata inflasi dan kenaikan kos sara hidup merupakan isu yang perlu dinilai secara menyeluruh dan situasi mencabar itu tidak hanya boleh diselesaikan oleh ikhtiar kerajaan mempertingkat perbelanjaan subsidi mahupun kerja kuat hanya beberapa kementerian yang strategik sahaja.

Menurutnya kerajaan cukup objektif bahawa isu tersebut tidak boleh dilakukan secara silo, malah memerlukan input, kerjasama dan pandangan daripada semua kementerian, agensi dan pihak berkait perihal cabaran kos sara hidup.

Mengulas lanjut, beliau berpendapat pasukan khas yang dianggotai oleh anggota Kabinet yang mengawal selia soal komunikasi, kewangan, industri makanan, ekonomi, kepenggunaan dan ketangkasan sektor awam itu perlu diberikan sokongan dan kepercayaan oleh semua pihak.

“Pasukan ini perlu diberikan masa yang cukup untuk mengaktifkan pelan tindakan mereka. Mesyuarat mereka yang pertama telah dilaksanakan dan komitmen untuk melibatkan lebih ramai individu dan mereka yang pakar dalam menangani situasi yang ada amatlah dialu-alukan,” katanya.

Rabu lepas, Mesyuarat Jemaah Menteri bersetuju menubuhkan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi yang berperanan mengumpulkan semua maklumat daripada kementerian, agensi dan orang ramai bagi menyelesaikan isu berkaitan inflasi khususnya mengawal kenaikan harga barang dengan lebih efisien dan berkesan. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.