CLEVER Tingkat Pembangunan, Rancak Teknologi EV Tempatan

ISKANDAR PUTERI, 1 Julai – Program Campuses for Local Electric Vehicle Expeditious Roll-out (CLEVER) yang akan dilaksanakan di universiti terpilih dapat meningkatkan pembangunan dan merancakkan lagi penggunaan teknologi kenderaan elektrik (EV) tempatan.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Datuk Seri Dr Adham Baba berkata program di bawah teraju NanoMalaysia Berhad (NMB) itu mampu menjadi platform atau sandbox pengawalseliaan dan inovasi bagi membolehkan syarikat pemula dan inovator menjalankan ujian masa nyata berkaitan teknologi EV dalam persekitaran terkawal.

Beliau berkata inisiatif CLEVER akan dimulakan di EduCity Iskandar di sini dan diikuti Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Tenaga Nasional (UNITEN).

“Penglibatan NMB adalah signifikan dalam mewujudkan ekosistem kondusif yang menggalakkan bakat-bakat tempatan membangunkan kecemerlangan teknologi dan memasarkan pencapaian mereka,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran CLEVER di EduCity Sports Complex di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif NMB Dr Rezal Khairi Ahmad.

Dr Adham berkata pelancaran CLEVER juga selaras dengan hasrat MOSTI untuk meningkatkan pembangunan dan penggunaan teknologi EV tempatan bagi menyokong sasaran Dasar Automatif Negara (NAP) 2020 dalam menyediakan kira-kira 5,000 stesen mengecas EV bagi mengukuhkan sokongan infrastruktur EV.

Sementara itu, Rezal Khairi berkata program CLEVER bukan sahaja dapat merancakkan penggunaan teknologi kenderaan EV di kawasan kampus, malah berupaya menangani isu seperti aspek mampu milik, bakat mahir tempatan serta sokongan teknikal, kekurangan infrastruktur terkemuka dan kebimbangan jarak melalui pendekatan terbaik.

“CLEVER akan memberikan pendekatan yang sangat bijak atau CLEVER approach untuk Malaysia mencapai kedaulatan teknologi dan ekuiti komersial dalam sektor EV, sama ada di peringkat tempatan mahupun di peringkat serantau,” katanya.

Beliau berkata pihaknya komited menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara pengeksport komponen kenderaan elektrik (EV), menerusi pelbagai inisiatif yang telah dilaksanakan termasuk pelancaran CLEVER. – BERNAMA