Presiden UMNO Rasmikan Karnival Kerjaya Pemuda BN

KUALA LUMPUR, 23 Jun –  Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan memeriahkan Karnival Kerjaya Pemuda Barisan Nasional (BN) yang dijadual bermula esok.

Beliau akan merasmikan program tersebut pada pagi Jumaat dengan karnival menawarkan lebih 20,000 peluang pekerjaan.

Karnival tersebut yang berlangsung selama tiga hari adalah kesinambungan daripada program yang telah diadakan sebelum ini oleh pergerakan Pemuda UMNO Malaysia dalam usaha membantu para belia serta mereka yang mencari peluang pekerjaan.

Pihak penganjur telah menyediakan laman web khusus ww.bnjobfair.com untuk memudahkan para pengunjung melakukan pendaftaran awal bagi melicinkan proses pencarian kerja sepanjang karnival berlangsung.

Pengerusi Sekretariat Ekonomi Pemuda UMNO, Datuk Mohd Lassim Burhan sebelum ini memaklumkan BN Youth Job Fair telah dianjurkan semenjak tahun 2011 dan ini adalah kesinambungan pelaksanaannya.

“Kita menggalakkan pengunjung untuk mendaftar di laman web www.bnjobfair.com. Dengan membuat pendaftaran tersebut pengunjung boleh memuatnaik resume mereka. Selain itu pendaftaran secara walk-in juga kita sediakan bagi pengunjung tidak sempat untuk mendaftar secara online, mereka boleh mendaftar resume mereka di kaunter pendaftaran.

“Setiap pengunjung akan diberikan QR Code untuk memudahkan resume mereka diakses oleh majikan. Mereka boleh pergi satu ‘booth’ ke satu ‘booth’ yang lain dengan membawa QR Code sahaja selepas memuat naik resume mereka di www.bnjobfair.com,” ujarnya.

Karnival Kerjaya BN Youth Job Fair akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) bermula  dari pukul 9 pagi sehingga 5 petang.

Selain tawaran peluang pekerjaan, pelbagai peluang bantuan dan sokongan pembiayaan, tawaran rumah mampu milik dan juga latihan meningkatkan kemahiran turut disediakan pada program berkenaan. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.