Kementerian Pengangkutan Diminta Rangka Tambang Amat Berpatutan Untuk ECRL – PM

BENTONG, 23 Jun – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Kementerian Pengangkutan (MOT) diminta berbincang dengan pihak berkepentingan bagi merangka kadar tambang yang amat berpatutan untuk perkhidmatan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang dijangka mula beroperasi pada Januari 2027.

Beliau berkata kadar itu hendaklah seperti tambang perkhidmatan tren elektrik (ETS) Keretapi Tanah Melayu Berhad yang disifatkannya sebagai “mesra rakyat” dan bukan seperti dakwaan yang telah mula disebarkan di media sosial kononnya tambang ECRL kelak adalah terlalu mahal.

Selain itu, Ismail Sabri berkata Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) juga difahamkan bakal menjana pendapatan sampingan yang dapat menampung kos pengoperasian dan bayaran balik pinjaman pembinaan projek ECRL daripada China EXIM Bank.

“Sehubungan itu, sebuah syarikat usaha sama dengan nisbah kepentingan 50:50 antara MRL dan China Communications Construction Company Ltd (CCCC) sedang dirancang penubuhannya bagi menjayakan pengendalian operasi perkhidmatan ECRL termasuk menanggung kos dan risiko operasi secara bersama.

Syarikat usaha sama ini bakal menyediakan bantuan teknikal dan memperhebatkan pemindahan teknologi kereta api serta bersama-sama mengendali dan menyelenggarakan ECRL untuk jangka masa panjang,” katanya dalam ucapan perasmian Permulaan Pembinaan Terowong Genting ECRL Pahang di tapak pembinaannya di sini hari ini. – BERNAMA

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.