Golongan Belia Lengkapkan Diri Jadi Pemimpin Masa Depan, Jangan Terpedaya Helah Politik – Bung Moktar

SANDAKAN, 23 Jun – Golongan belia masa kini perlu melengkapkan diri dengan segala ilmu pengetahuan untuk menjadi pemimpin pelapis bagi meneraju negara ini pada masa depan.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, golongan belia selain berilmu pengetahuan mereka juga perlu memiliki ciri-ciri kepimpinan, berintegriti dan berwawasan untuk memajukan diri masyarakat dan negara.

“Adalah satu penghormatan kepada para belia berumur 18 tahun oleh kerajaan Malaysia apabila pada tahun ini mereka dibenarkan untuk mengundi dan ini merupakan satu pengiktaran kepada golongan ini untuk mencorak dan menentukan masa depan negara,” katanya ketika berucap merasmikan penutupan Karnival Belia Keluarga Malaysia 2022 di Kompelks Sukan Sandakan pada Ahad lepas

Sehubungan itu Bung yang juga Menteri Kerja Raya mengingatkan golongan belia agar memanfaatkan peluang yang diberikan oleh kerajaan ini untuk memilih pemimpin dan kerajaan yang benar-benar menjaga rakyat dan negara demi kemajuan dan kesejehteraan yang berpanjangan.

Katanya golongan belia perlu bijak dan matang memilih kerajaan.
“Jangan terpedaya dengan helah politik yang hanya untuk kepentingan diri dan mereka telah merasai dalam tempoh 22 bulan kerajaan Perikatan Nasional dan Pakatan Harapan mentadbir negara… apa yang mereka janjikan kepada golongan belia seperti penghapusan PTPTN dan sebaganya, tapi tidak pun dilaksanakan.”

Tambah Bung yang juga Ketua UMNO Sabah, persada politik negara memerlukan golongan muda sebagai pencetus pembaharuan yang nyata.

“Belia seharusnya menjadi pemain penting di persada politik negara khususnya waktu muda mereka.”

Mengenai Karnival tersebut Bung menyifatkan ianya sebagai wadah terhadap penyautuan golongan belia di negeri ini untuk kembali aktif selepas dua tahun tanpa sebarang program yang dianjurkan kerana penularan pandemik COVID-19

“Kita mengalu-alukan program seperti ini sebagai wadah penyatuan golongan belia selain dapat membantu memulihkan ekonomi golongan ini dan dapat melahirkan anak muda yang berani, berilmu, berkemahiran mempunyai semangat jitu dan berintegriti,” katanya.

Hadir sama Pembantu Menteri Belia dan Sukan Andi Muhammad Suryady Bandy; Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Mohamad Hamsan Awang Supain; Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Manlia Mokran Ingkat; Ketua UMNO Bahagian Libaran yang juga Adun dilantik, Datuk Suhaimi Nasir dan pengerusi penganjur yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Libaran Sh Ismarhafiz Sh Abd Rahman. – UMNO Online

Oleh: Jaafar Abdul Wahid

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.