Berbaloi Pilihan Rakyat Johor Bersama BN Demi Kestabilan Masa Depan – Shahrir

KUALA LUMPUR, 23 Jun – Kestabilan yang dicapai negeri Johor pada ketika ini memberikan kesan terbaik untuk pembangunan ekonomi yang seterusnya memberi manfaat kepada rakyat, kata Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abdul Samad.

Menurut beliau, Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dilakukan sebelum ini ternyata memberikan signifikannya tersendiri apabila rakyat telah memilih sebuah kerajaan kukuh bagi meneruskan agenda kemajuan negeri.

“Berbaloi apabila rakyat Johor mengundi demi kestabilan, masa depan rakyat dan negeri… tentunya kestabilan membawa manfaat bagi rakyat.

“Antara fakta yang menyumbang kepada kestabilan ialah kepimpinan politik yang kuat dan kukuh ianya hasil dari mandat rakyat.

“Bila lagi hendak dikembalikan mandat kepada rakyat di peringkat kebangsaan?” soal beliau menerusi satu hantaran di Facebook.

Beliau berkata demikian sebagai respon kepada pertemuan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz dengan pelabur-pelabur daripada dalam dan luar negara.

Jelas Shahrir, meskipun pelbagai cabaran dilalui ketika ini namun strategi terbaik perlu dilakukan demi mengurangkan beban rakyat.

“Rakyat dan negeri Johor tidak terkecuali dari inflasi akibat kenaikan harga bahan mentah akibat perang di Europa namun perancangan dan usaha demi masa depan perlu diteruskan.

“Kemasukkan pelaburan asing, sambil membawa kemajuan ekonomi yang ‘real’, akan menstabilkan nilai ringgit bagi negara,” ujar beliau.

Terdahulu, Onn menerusi Facebooknya memaklumkan pertemuan bersama para pelabur tersebut memberikan impak positif apabila mereka menyatakan pandangan bahawa Johor adalah sebuah negeri yang amat sesuai sebagai destinasi perniagaan dan pelaburan.

“Kedudukan geografi yang amat strategik, kemudahan pelabuhan dan infrastruktur yang baik dan paling penting tenaga kerja yang berkemahiran merupakan antara faktor-faktor utama mereka berada di Johor.

“Semoga Johor terus menjadi pusat pelaburan bertaraf antarabangsa dan rakyat terus mendapat manfaat limpahan ekonominya,” katanya. – UMNO Online