Pelbagai Syarikat Kecil, Besar Menunggu Pencari Kerja Di BN Jobs Fair – Dr Asyraf

KUALA LUMPUR, 22 Jun – Karnival Kerjaya Pemuda Barisan Nasional (BN) yang akan bermula Jumaat ini tidak hanya tertumpu kepada sasaran serta kelompok tertentu malah ianya akan meliputi pelbagai golongan yang akan memberi peluang kepada pencari kerja untuk membina kerjaya.

Pengerusi Pemuda BN, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menolak pelbagai persepsi yang timbul termasuklah kononnya karnival tersebut tertumpu kepada mereka yang berpendidikan tinggi semata-mata adalah tidak benar sama sekali.

“Peluang yang ditawarkan pada karnival ini bukan hanya untuk kelompok-kelompok tertentu. Ada persepsi yang mengatakan karnival kerjaya ini bagi mereka yang berpendidikan tinggi tapi sebenarnya tidak.

“Pemuda memang sengaja mempelbagaikan dari segi majikan dan syarikat-syarikat yang berpartisipasi di dalam BN Youth Jobs Fair kali ini bagi menawarkan pelbagai bentuk perkerjaan dan kerjaya belia anak muda di luar sana,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Menara Dato’ Onn, hari ini.

Tambah beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO, karnival yang akan berlangsung selama tiga hari itu merupakan kesinambungan daripada program yang telah diadakan sebelum ini dan kali terakhir diadakan pada 2017.

Kata Asyraf, karnival seumpama ini sangat penting untuk menjadi ‘jambatan’ kepada pelbagai inisiatif kerajaan serta swasta bagi membuka peluang dan ruang kepada anak muda mendapatkan pekerjaan.

“Ini adalah satu inisiatif yang dapat memberi tawaran lebih kepada 20 ribu peluang perkerjaan kepada anak muda di luar sana dan lebih daripada 300 agensi kerajaan, syarikat-syarikat korporat mahupun swasta yang turut serta pada kali ini.

“Tidak kira sama ada anak muda yang serendah berpendidikan SPM sampai ke peringkat yang lebih tinggi kerana ada juga Institusi Pendidikan seperti Open University, Mahsa, Sepadu, OUM, Prima, Boustead, MRCB, Mara, TNB, DRB Hicom, McDonald, Coffee Bean dan sebagainya. Ini adalah peluang yang terbaik bagi anak muda menceburi peluang ini.

“Jadi kepada anak-anak muda serta para belia dan mereka yang sedang mencari peluang pekerjaan, jangan lupa untuk datang dan segeralah mendaftar menerusi  laman www.BNjobfair.com,” ujarnya. – UMNO Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.