Budayakan Pandangan Intelektual, Bukan Dominasi ‘Pemikir’ Netizen – Khaled

KUALA LUMPUR, 22 Jun – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berpandangan Malaysia memerlukan pembudayaan intelektual dan pandangan alternatif terhadap pelbagai dasar nasional, bukan ulasan tidak substantif, cetek apatah lagi bersifat populis.

Katanya ini kerana senario pada masa kini memperlihatkan kecaman dan kritikan dilakukan bersandar kepada pendapat semata-mata, tanpa data, dapatan empirikal dan pemikiran yang kritis.

“Negara kita terus berhadapan dengan pelbagai cabaran politik, ekonomi, sosial dan pembangunan.

“Tetapi yang membimbangkan saya adalah kurangnya menampil dan mengetengahkan perbincangan yang aktif dan membina tentang pelbagai masalah dan krisis yang melanda negara baik daripada segi media cetak mahupun media digital.

“Malangnya lagi yang maha berpengaruh adalah netizen bukan para pemikir bangsa bertauliah yang mendominasi,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Menurut beliau lagi, golongan bijak pandai di universiti-universiti perlu tampil dengan pencerahan, semak dan imbang melalui tulisan, idea, kritikan dan debat yang mencerahkan.

Tambah Mohamed Khaled sewajarnya, golongan intelektual bertanggungjawab menampilkan ilmu yang mereka kaji, ajar dan terokai untuk manfaat insan bukan semata terhad di kuliah-kuliah sahaja.

“Bukan sekadar memberikan pandangan sepintas lalu. Kita tidak mahu wujud tanggapan masyarakat yang mereka tidak resonates dengan segala kemaslahan bangsa dan negara.

“Hanya ghairah mengejar ranking universiti dan ‘KPI’ demi prestij, bukan sumbangan. Sungguh, saya percaya mereka pastinya ada gagasan serta kecerdasan yang boleh menerbitkan dasar dan solusi yang benar-benar bermutu dan memanfaatkan,” ujar beliau.

Jelas beliau jika dasar awam negara digubal, diulas dan dilaksanakan tanpa sumbangan dan kolaborasi para cendekiawan bangsa ia ternyata memberikan kerugian kepada tanah air ini sedangkan negara mempunyai sumber insan terbaik.

“Ayuh kepimpinan universiti, janganlah terus membisu dan hanya reaktif. Seolah-olah universiti-universiti kita tidak punya sumber dan kekuatan pemikiran untuk menyumbang solusi handal terhadap masalah nasional,” katanya. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.