Bukan Nak Jadi ‘Abang Besar’, UMNO Berjuang Demi Kestabilan Politik Dan Negara

KUALA LUMPUR, 20 Jun – UMNO berjuang bukan semata untuk menjadi ‘abang besar’ namun menyedari kepentingan menjadi tunjang kepada pentadbiran negara demi mengekalkan kestabilan politik terutama selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari.

Jelas beliau malah tuduhan dilemparkan oleh kepimpinan Pas seperti dilaporkan media baru-baru ini suatu yang tidak boleh diterima sedangkan mereka sendiri mengambil keputusan untuk tidak menjalinkan kerjasama pada Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini.

“Sudah dua kali Pas melawan UMNO di dalam PRN Melaka dan Johor tiba-tiba di PRU15 akan datang apabila UMNO ingin pergi solo, Pas sebut UMNO degil… sungguh pelik.

“Jika kita lihat semasa PRN tersebut mereka sudah pun melawan UMNO dan mereka tetap ‘degil’ untuk tidak mahu bersama UMNO walaupun semasa kedua-dua PRN, UMNO telah jemput atas semangat Muafakat Nasional (MN) dengan menawarkan kerusi ‘confirm’ menang kepada Pas.

“Akan tetapi apa terjadi? Mereka menolak pelawaan UMNO dan menuduh UMNO ingin menjadi ‘abang besar’ walaupun sudah kerap kali UMNO menerangkan bahawa untuk mewujudkan kestabilan politik, UMNO perlu menjadi parti teras untuk mengelakkan kejadian lompat parti seterusnya merugikan negara,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Beliau berkata demikian sebagai respon kenyataan Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah kononnya berusaha dan berharap untuk bekerjasama dengan UMNO menerusi MN dapat terus dipertahankan sehingga ke PRU15.

Tambah Azhari lagi, tindakan Pas itu juga sudah diketahui umum adalah untuk menjaga hubungan mereka dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Beliau juga meluahkan kekesalan ekoran beberapa kenyataan daripada Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang berbaur sindiran kepada kepimpinan parti keramat ini.

“Pas tetap setia dengan PPBM di mana Pas sendiri tahu UMNO tidak boleh berkerjasama dengan PPBM.

“Tambahan pula, sudah banyak kali tohmahan, hinaan dan gelaran dari kepimpinan Pas terhadap UMNO dan kepimpinan tertinggi UMNO terutamanya Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Walaupun pelbagai serangan dari pihak Pas saya puji dari pihak kepimpinan UMNO sendiri tidak membalas balik hinaan mereka malah yakin dengan strategi dan kepimpinan Presiden UMNO di dalam menghadapi PRU,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.