Sertai BN Youth Job Fair 24-26 Jun, Tawar Lebih 20,000 Peluang Pekerjaan

KUALA LUMPUR, 17 Jun – Lebih 20,000 peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor bakal ditawarkan menerusi penganjuran program Barisan Nasional (BN) Youth Job Fair pada pada 24 hingga 26 Jun di World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL).

Pengerusi Sekretariat Ekonomi Pemuda UMNO, Datuk Mohd Lassim Burhan berkata BN Youth Job Fair telah dianjurkan semenjak tahun 2011 dan ini adalah kesinambungan daripada pelaksanaannya.

Menurutnya yang juga Exco Pergerakan Pemuda UMNO, pada tahun ini agak berbeza sedikit kerana mendapat kolaborasi dengan My Future Jobs, Perkeso dan Kementerian Sumber Manusia yang memberikan sokongan penuh kepada penganjuran BN Youth Job Fair.

“Karnival BN Youth Jobs Fair 2022 menawarkan lebih 20,000 peluang pekerjaan kepada anak muda. Peluang pekerjaan ini datang daripada My Future Jobs, Perkeso, syarikat-syarikat GLC, agensi kerajaan dan Kementerian Sumber Manusia.”

Katanya, program BN Youth Job Fair ini telah dicetuskan oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kerana melihat ramai anak muda yang hilang pekerjaan semasa pandemik lalu.

“Idea asal dan inisiatif program BN Youth Job Fair ini dari Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan disokong oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Program ini telah diputuskan oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.

“Kita faham selepas pandemik COVID-19 banyak yang kehilangan pekerjaan dan inilah inisiatif BN menggabungkan pelbagai syarikat dan agensi bagi membantu anak muda mencari peluang pekerjaan yang baharu atau menambahkan ‘upgrade skill’,” katanya kepada UMNO Online, di sini.

Beliau yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Sri Gading menjelaskan anjuran BN Youth Jobs Fair ini mendapat sokongan dari pelbagai pihak.

“Buat masa ini kami telah menerima sebanyak hampir 200 syarikat yang ingin bersama dan mengharapkan lebih banyak lagi syarikat dapat membantu golongan muda untuk mendapatkan peluang pekerjaan.

“Ianya mendapat sokongan serta penglibatan pelabagai agensi yang antaranya Boustead, MDV, Perkeso, HRD Corp, NIOSH, Talent Corp, TNB, Swcorp, Prima, MRCB, Plus, Open University, Aeon, Nandos, Baskin Robins, juga termasuk syarikat yang menawarkan perkhidmatan logistik dan sebagainya,” jelasnya.

Tambahnya, bagi pencari kerja, mereka tidak perlu membawa ‘resume’ tetapi hanya menggunakan ‘QR Code’ saja.

“Pencari pekerjaan akan diberikan ‘QR Code’ dan akan dipamirkan kepada majikan. Tidak perlu membawa ‘resume’ yang terlalu tebal malah mereka boleh pergi satu ‘booth’ ke satu ‘booth’ yang lain dengan membawa QR Code.

“BN Youth Jobs Fair dibuka secara percuma kepada pengunjung yang hadir dan pengunjung boleh membuat pra pendaftaran di laman sesawang www.bnjobfair.com,” jelasnya lagi.

Ujarnya, karnival ini  akan diadakan pada 24 hingga 26 Jun di World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL) dan bermula jam 10.00 pagi hingga 5.00 petang. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.