DUN Johor Bersidang, BN Menjadi Kerajaan Dengan Mandat Rakyat – Sharifah Azizah

JOHOR BAHRU, 17 Jun – Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain menzahirkan rasa syukur dan gembira kerana pembukaan Penggal Persidangan Pertama Dewan Undangan Negeri ke-15 menyaksikan Barisan Nasional (BN) kembali menjadi teraju kerajaan negeri.

Dalam hal ini, beliau menjunjung titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar yang mahukan kerajaan negeri bergerak tanpa kepentingan politik dengan setiap wakil rakyat melaksanakan tugas sepenuhnya.

“Amanat Baginda Sultan adalah demi kemakmuran keseluruhan rakyat tanpa melihat kepada ideologi politik atau fahaman berbeza sebaliknya keutamaan bagi mengkekalkan kemasyuran Negeri Johor untuk terus maju,” katanya kepada UMNO Online.

Lebih manis, kata Sharifah Azizah apabila BN menerajui negeri terbabit dengan mendapat mandat rakyat selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan pada Mac lalu.

“Sebelum ini banyak tuduhan dilemparkan kepada BN apabila kita mengambil alih pentadbiran negeri, macam-macam gelaran dibuat pada BN tapi dengan adanya mandat rakyat yang diperoleh dari pilihan raya maka terbukti BN sentiasa sedia mentadbir dengan saksama.

“Sama-sama kita berusaha dan berdoa agar pentadbiran kerajaan baharu pimpinan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi akan dapat berjalan lancar menerajui kemakmuran dalam kestabilan untuk masa hadapan.”

Ujarnya, sejak Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lalu, rata-rata rakyat sudah mengenali warna sebenar parti-parti politik yang ada.

“Sejak BN gagal menjadi kerajaan pada 2018, pelbagai cerita terserlah malah jika sebelum ini pihak lawan yang banyak menabur pelbagai janji selain melakukan fitnah terhadap parti BN tapi kini dah terbukti.

“Rakyat juga tahu memilih antara kaca dan permata dan kali ini BN menerajui kerajaan Johor dengan tekad untuk mengembalikan kemakmuran dan kemajuan dengan asasnya adalah kestabilan.”

Sehubungan itu kata Sharifah Azizah lagi, kini adalah masa untuk wakil rakyat bekerja dan menunaikan khidmat bakti kepada rakyat.

“Kita ada amanah kerana kejayaan BN pada PRN Johor Mac lalu adalah kepercayaan dan keyakinan sangat besar daripada rakyat,” katanya lagi yang sebelum ini menjadi ADUN pembangkang dalam pentadbiran Pakatan Harapan (PH) apabila memenangi kerusi DUN Penawar pada PRU-14.

Menerusi PRN Johor, BN memenangi 40 daripada 56 kerusi DUN, diikuti PH sebanyak 11 kerusi, Perikatan Nasional (PN) (tiga) dan masing-masing satu kerusi oleh Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) serta PKR. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.