Pertembungan Dua Kem Berbeza Kemudi PKR Papar Sisi Keretakan

KUALA LUMPUR, 16 Jun – Ketua Penerangan UMNO Pulau Pinang, Datuk Mohd Noor Ahmad berpandangan bahawa pertembungan di antara dua kem berbeza dalam mengemudi PKR menunjukkan sisi perpecahan untuk parti berkenaan.

Jelas beliau, ini kerana kepimpinan presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan timbalannya, Rafizi Ramli sudah tentu mempunyai pendekatan berbeza dalam membawa hala tuju parti tersebut.

“Anwar dan Rafizi ini bukan satu team jadi mereka ini ada perancangan masing-masing sudah tentu ianya akan membawa perpecahan kepada PKR.

“Lagipun kita tahu isu yang dibawa oleh Rafizi kadang-kadang dia mengaku balik atas pembohongan beliau seperti sebelum ini.

“Seperti isu cincin tapi akhirnya dia mengaku balik ianya direka oleh dia sendiri untuk mengalih dan menarik sokongan rakyat kepada parti PKR,” katanya ketika ditemui UMNO Online.

Berbeza seperti UMNO/Barisan Nasional (BN) beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan berkata perpaduan dalam kalangan ahli parti termasuk komponen BN berada pada tahap terbaik.

Katanya ini kerana permuafakatan itu diperkukuh pada tiga himpunan besar yang telah diadakan pada tahun ini.

“Kita telah mengadakan Perhimpunan Agung UMNO, Perhimpunan Agung Khas UMNO dan juga Konvensyen Barisan Nasional melalui ini kita dapat melihat ucapan presiden yang berjiwa besar.

“Jadi kita berharap daripada atas hingga ke bawah supaya hormati kepimpinan parti terutama presiden dengan meletakkan kepentingan parti lebih daripada segala-galanya.

“Melalui kesatuan ini kita harap ahli-ahli parti ini dapat bersatu bila datang pilihan raya sama ada dipilih atau tidak yang penting adalah parti kita menang,” jelas beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.