Jangan Bebani Rakyat Dengan Kenaikan Tarif Elektrik – Dr Asyraf

KUALA LUMPUR, 16 Jun – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia berharap kerajaan mengkaji sebaiknya berkenaan kenaikan tarif elektrik yang dijangka berlaku.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata ini kerana peningkatan tersebut juga akan memberi kesan kepada kenaikan kos lain yang dibimbangi membebankan rakyat.

“Kerajaan harus mencari jalan untuk tidak menaikkan tariff elektrik atau memindahkan kos kenaikan harga minyak yang dialami Tenaga Nasional Berhad (TNB) kepada rakyat dalam bentuk surcaj.

“Kenaikan tarif tenaga elektrik bukan sahaja akan membebankan rakyat secara langsung daripada kenaikan bil elektrik mereka bahkan pastinya menyumbang kepada kenaikan harga barang dan perkhidmatan akibat kenaikan input kos yang mendadak.

“Dengan keperitan peningkatan harga barang dan kos sara hidup yang sedang dialami rakyat ketika ini, tidak wajar rakyat dikenakan pula surcaj elektrik yang pastinya akan menambah beban mereka yang kini sudah semakin sengsara,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Tambah beliau lagi, TNB yang baru mengumumkan keuntungan bersih RM893 juta untuk suku tahun pertama tahun ini juga harus menzahirkan tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka dengan mencari formula terbaik.

“TNB perlu menyerap kos yang meningkat akibat bahan api dunia yang naik kerana situasi peperangan Rusia-Ukraine yang menjejaskan bekalan minyak dunia.

“Usahlah menambah beban rakyat yang kini sudah amat terbeban dengan kenaikan kos sara hidup akibat peningkatan harga barangan dan perkhidmatan di pasaran,” ujar beliau. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.