Pemuda UMNO Cadang Kerajaan Pertimbangkan Kembali Satu Kenaikan Gaji Tahunan Yang Dibatalkan PH

KUALA LUMPUR, 15 Jun – Dengan kenaikan kos sara hidup, harga barang yang mendadak dan penyelarasan gaji minima, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia akan mencadangkan agar dalam Bajet 2023 akan datang, Kerajaan meneruskan semula hasrat Kerajaan Barisan Nasional (BN) terdahulu untuk penjawat awam.

Kata ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, pada tahun 2018, Perdana Menteri ketika itu Datuk Seri Najib Razak telah mengumumkan kenaikan satu KGT (Kenaikan Gaji Tahunan) bagi penjawat awam yang sepatutnya berkuatkuasa setiap tahun bermula 1 Julai 2018.

“Walau bagaimanapun, apabila Pakatan Harapan (PH) ambil alih kerajaan, mereka membatalkan pemberian KGT tersebut,” katanya dalam hantaran melalui laman Facebooknya berkaitan hal terbabit, hari ini.

Ujarnya, satu lagi alternatif lain ialah dengan menaikkan imbuhan tetap atau elaun layak untuk penjawat awam termasuklah ITP (Imbuhan Tetap Perumahan), ITKA (Imbuhan Tetap Khidmat Awam) BISH (Bayaran Imbuhan Sara Hidup) bagi kelayakan diploma ke bawah dan kelayakan ijazah ke atas.

“Insya-Allah, kami akan berusaha untuk mengadakan pertemuan dan berbincang dengan pihak Tan Sri KPPA, JPA, Menteri Kewangan sebelum membawa cadangan ini kepada YAB Perdana Menteri untuk dipertimbangkan.

“Insya-Allah jika BN kembali memerintah selepas PRU-15, politik stabil, ekonomi kembali pulih dengan pertumbuhan kembali memuncak dan keyakinan pelabur domestik dan asing untuk melabur secara pesat sebagaimana dahulu, insya-Allah kenaikan gaji akan seiring dengan keupayaan negara dan keseimbangan kenaikan harga barangan jua,” katanya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.