Pemuda UMNO Gesa Hentikan Monopoli Kartel Dalam Industri Penternakan Ayam Demi Manfaat Rakyat

KUALA LUMPUR, 14 Jun – Pergerakan Pemuda UMNO menggesa kerajaan untuk menghentikan monopoli kartel dalam industri penternakan ayam demi manfaat rakyat.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang menerima kunjungan dari kumpulan pengusaha industri penternakan ayam semalam telah mendengar pelbagai rintihan dan realiti yang berlaku di lapangan berkaitan isu harga ayam.

“Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia mendengar keluh-kesah pemain industri dan akan bersama meneliti segala permasalahan isu harga ayam yang kini semakin menjadi beban kepada pengguna, khususnya.

“Saya pasti ini rakan-rakan yang hadir ini adalah sebilangan kecil penternak ayam yang mempunyai permasalahan dalam ekosistem industri ayam di dalam negara,” katanya menerusi kenyataan dalam laman facebooknya malah turut membuka ruangan komen untuk sebarang isu-isu yang masih lagi membelungi.

Tegas Dr Asyarf Wajdi, Pemuda UMNO seperti sebelumnya melalui agenda #PemudaJurubicaraRakyat akan berusaha memperjuangkan perkara sebegini kepada pihak wewenang agar akhirnya tidak terus membebankan rakyat.

Terdahulu, beliau telah mengadakan pertemuan dengan kumpulan pengusaha industri ternakan ayam iaitu Mohd Azlan Ali, Shafiqurrahman Shamsuddin, Muhamad Rizzal Badaruddin dan Mustafa Mohamed Yusof di pejabat Pergerakan Pemuda UMNO, Menara Dato Onn, semalam.

Berikut adalah antara rumusan pertemuan terbabit:

1. Isu harga ayam ini mesti ditangani secara holistik atau menyeluruh dengan mengambil kira rantaian pengeluaran daripada aspek dedak/makanan ayam, anak ayam sehinggalah isu buruh, dan pemprosesan ayam untuk dijual.

2. Kerajaan perlu melakukan intervensi segera untuk memecahkan monopoli di kalangan kartel atau syarikat-syarikat besar tertentu yang menguasai pengimportan dedak, penternakan anak ayam, pengedaran ayam dan lain-lain.

3. Akibat monopoli ini, harga anak ayam ditentukan oleh beberapa syarikat besar yang memanipulasi dan mengeksploitasi bekalan ayam di pasaran.

4. Kebergantungan kepada import dedak atau makanan ayam seperti jagung dan kacang soya juga mesti dikurangkan dengan mengambil kira inovasi baharu yang meluaskan alternatif makanan ayam daripada bahan lain berasaskan isirong sawit (Palm Kernel Extract), ubi kayu dan lain-lain.

5. Karenah birokrasi dalam pelbagai agensi kerajaan juga perlu ditangani segera. Contohnya, inovasi baharu anak muda dalam aspek makanan ayam seperti ubi kayu, walaupun sudah dibuktikan berhasil. Namun karenah birokrasi seperti MARDI dan Jabatan Vaterinar telah merencatkan usaha ini.

6. Karenah birokrasi di peringkat agensi Kerajaan seperti Jabatan Veterinar jugalah menyebabkan RM729 juta subsidi yang disediakan Kerajaan tidak sampai atau tidak dapat disalurkan secara berkesan sehinggakan Kerajaan mendapat gambaran tidak tepat seolah-olah penternak tidak tuntut subsidi tersebut.

7. Kerajaan perlu mewujudkan segera Lembaga Unggas/Ayam yang bukan sahaja berperanan mengawasi harga, menetapkan piawai bahkan mengawal harga dengan lebih berkesan agar tidak lagi dimonopoli oleh hanya syarikat-syarikat besar tertentu.

8. Jika pengawasan dan pengawalan harga dapat dilakukan oleh Lembaga pada setiap rantaian pengeluaran termasuk mengiktiraf dedak-dedak alternatif yang jauh lebih murah, sudah tentu harga akhir di pasaran akan lebih jadi murah.

9. Penetapan harga siling RM8.90/kilo yang tidak mengambil kira kenaikan kos dan input utama penternakan ayam akan mematikan banyak usahawan-usahawan kecil penternakan dan peniaga-penianga kecil dan sederhana dalam industri ayam. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.