Kerajaan Negeri Selangor Jaga Kilang Tapi Tidak Jaga Rakyat – Azhari

KUALA LUMPUR, 13 Jun – Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari membidas Kerajaan Negeri Selangor di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) yang dianggap tidak menjaga rakyat lantaran masalah air masih berterusan.

Terbaharu, Jumaat lalu Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) telah mengarahkan sebuah premis kilang untuk segera menghentikan pelepasan efluen yang berpotensi mencemarkan aliran air sungai, serta melaksanakan kerja pembersihan segera agar pencemaran tidak berulang, susulan insiden air berwarna putih yang dikesan di Sungai Langat.

Tegas Azhari, beliau tidak faham dengan Kerajaan Negeri Selangor dan Menteri Besarnya kerana perkara ini kerap berlaku dan sudah banyak kali tapi tiada penyelesaian.

“Kerajaan Selangor jaga kilang tapi tidak jaga rakyat. Mereka risau untuk ambil tindakan tegas ke atas pengilang-pengilang yang memberi masalah sehinggakan rakyat Selangor dan peniaga-peniaga kecil juga terjejas pendapatan mereka.

“Kalau kita lihat, ada pengilang yang sering ulang kesalahan yang sama, tapi kilang mereka masih beroperasi seperti sediakala dan yang banyak buat kesalahan adalah kilang haram,” katanya dalam hantaran berkaitan hal terbabit menerusi laman facebooknya.

Soal beliau, apa tindakan yang diambil ke atas pengilang-pengilang ini kerana membuang efluen dari kilang mereka tanpa mengikut prosedur yang telah ditetapkan?

“Takkan hanya memberi amaran sahaja?

“Saya lihat Kerajaan Selangor sekarang sangat lemah. Terlalu kerap berlakunya pencemaran sungai sehinggakan berlakunya krisis air di Negeri Selangor.

“Saya harap kepada pihak berkenaan sila ambil tindakan tegas dan tidak berlembut di dalam perkara ini,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.