Biarlah Kami Dengan Urusan Anak Beranak – Shabery Cheek
KUALA LUMPUR, 13 Jun – “Biarlah kami dengan urusan kami anak-beranak,” demikian lontar Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ketua Penerangan Pas, Ir Khairil Nizam Khirudin yang menyeru Presiden UMNO untuk bergenti berpolitiking kerana takut dengan baying-bayang sendiri dan kehilangan jawatan.
Dalam hal ini, Ahmad Shabery memberikan analogi dengan kata-kata, “kalau nak menang bola tanya pengurus pasukan sendiri ke atau pengurus pasukan lawan?”
Bidasnya, nak menang perang, kena dengar nasihat kawan ke nasihat pihak yang dah isytihar jadi musuh?
“Kan dulu dah tolak pinangan di Melaka dan Johor? Biarlah kami dengan urusan kami anak-beranak,” katanya lagi.
Terdahulu dilaporkan Presiden Pas yang menganggap pihak yang bertegas mahu menyegerakan PRU adalah golongan yang gila kuasa.
Hal ini telah disangkal oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menyatakan mungkin kalau PRU cepat Pas khuatir partinya akan kehilangan kurang daripada 18 kerusi Parlimen yang sedia ada.
Menyorot kepada ‘pinangan’ yang dimaksudkan, UMNO/Barisan Nasional (BN) telah menawarkan kerjasama untuk berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka namun Pas memilih kerjasama dengan PPBM, demikian juga PRN Johor. – UMNO Online