Negara Perlukan Kerajaan Stabil, Dibentuk Atas Pilihan Rakyat

KUALA LUMPUR, 12 Jun – Pengarah Komunikasi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata negara perlukan sebuah kerajaan yang dibentuk atas pilihan rakyat.

Kata Ahli Parlimen Lenggong itu, ini supaya kerajaan itu nanti menjadi kerajaan yang stabil dan diyakini pelbagai pihak.

“Sangat penting dan kita juga mesti bentuk, kerajaan yang dianggotai parti yang sehaluan agar segala dasar, polisi dan agenda negara dapat berfungsi dengan sempurna untuk rakyat dan negara.

“Kerajaan yang diangotai parti berlainan ideologi dan berbeza kepentingan merugikan rakyat dan negara,” tegasnya dalam satu kenyataan di platform media sosialnya.

Ulasnya juga, keperluan disegerakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) adalah keputusan kolektif parti.

“Pendirian juga dibuat sewaktu PAU (Perhimpunan Agung UMNO) dan Perhimpunan Agung Khas UMNO. Kita serahkan kepada ‘Top Five’ UMNO. Ini bukan kehendak Presiden UMNO sahaja.

“Keputusan ini dibuat parti…oleh UMNO. Kita mahu kuasa diberikan semula segera kepada rakyat. Biarlah rakyat pilih parti mana yang akan diberikan mandat melalui proses pilihan raya,” katanya.

Timbul satu persoalan ujarnya lagi.

“Kenapa PAS takut sangat dengan PRU-15? Kalaupun tak mau lagi PRU-15 berilah alasan yang menampakkan kematangan sebagai “parti yang kononnya membawa imej Islam”.

“Lupakah kita. Islam mengajar kita mendoakan kebaikan kepada semua?,” tanyanya lagi.

Baru-baru ini Menteri Besar Kedah yang juga Pengarah Pilihan Raya PAS Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendakwa Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang kini berdepan perbicaraan kes di mahkamah bertegas mahu mengadakan PRU lebih awal kerana takut dipenjarakan. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.