Wacana Aspirasi UMNO Dilaksana Berterusan, Bicara Kepentingan Rakyat – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 11 Jun – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan memaklumkan bahawa Wacana Aspirasi UMNO (WAU) yang membincangkan hal-hal semasa rakyat bakal diteruskan menjadi siri selepas dilaksanakan kali pertama pada 11 Mei lalu.

Katanya melalui WAU 2.0 yang menjadi kesinambungan pelaksanaannya yang lalu, kali ini membincangkan berkaitan cabaran anak muda.

KUALA LUMPUR, 11 Jun–Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan berucap pada Majlis Wacana Aspirasi UMNO (WAU 2.0) yang diadakan di Auditorium UMNO, Menara Dato Onn, hari ini.

“Hari ini kita nak membincangkan berkaitan cabaran dan masa depan anak-anak muda sama ada dari segi pendidikan, peluang perniagaan, pekerjaan, perumahan, kemahiran, kebajikan dan pelbagai lagi,” katanya.

Beliau yang menjadi pencetus dalam merealitikan WAU memaklumkan bahawa anak muda perlu dilibatkan dalam pelbagai aktiviti dengan memberikan peluang kepada mereka dari pelbagai aspek.

“Orang lama sokong orang baru dan dengan sokongan yang berterusan maka mudah-mudahan kita akan berjaya dalam hasrat untuk menang dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 yang akan diadakan tak lama lagi.”

Program WAU 2.0 anjuran Ibu Pejabat UMNO Malaysia dirasmikan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di samping panelnya yang terdiri daripada Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Senator Datuk Seri Ti Lian Ker
serta pemimpin-pemimpin NGO tempatan.

Mereka terdiri daripada Presiden Majlis Belia Malaysia, Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid; Presiden MAYC, Mohd Al-Hafizi Abu Bakar dan Pemangku Presiden Belia 4B, Fahami Ashrof Badaruddin.

UMNO Online turut menyiarkan WAU 2.0 melalui medium facebook rasmi parti, www.facebook.com/mediaumnomalaysia. – MediaUMNO

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.