UMNO/BN Berjaya Tangani Agenda Parti Sebelum Diadakan PRU – Farid Nor

BENTONG, 8 Jun – Ketua Pemuda UMNO Negeri Pahang, Mohd Farid Mohd Nor melahirkan kesyukuran UMNO/ Barisan Nasional (BN) dapat menyelesaikan semua agenda dan perancangan parti pada Perhimpunan Agung UMNO (Khas) dan Konvensyen BN baru-baru ini.

Katanya yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Lipis, usul pindaan itu bertujuan memastikan penangguhan mesyuarat UMNO selepas enam bulan agar seluruh kekuatan parti dapat digemblengkan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU).

“Kita telah selesai Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021, selesai pindaan Perlembagaan yang membolehkan penangguhan mesyuarat agung ataupun pemilihan UMNO yang akan dibuat yang maksimun enam bulan selepas pilihan raya dan baru-baru ini berjaya melaksanakan Konvensyen BN bersama-sama parti komponen.

“UMNO/BN telah menyelesaikan isu ‘poster boy’ untuk menghadapi PRU-15 dan telah berjaya menyelesaikan permasalahan mengadakan pemilihan selepas PRU. Perkara ini sangat penting kerana ianya membolehkan parti fokus kepada gerak kerja menuju pilihan raya kerana baki yang tinggal untuk mengadakan pilihan raya hanya setahun saja.

“Dengan selesainya agenda-agenda ini maka tiada lagi yang akan timbulnya persoalan dan sebaliknya gerak kerja menuju pilihan raya harus bermula daripada sekarang seperti latihan, kursus kepada jentera parti  tidak boleh ditangguhkan lagi,” katanya kepada UMNO Online, di sini.

Jelasnya, bagi menghadapi pilihan raya perkara paling penting adalah melaksanakan manifesto yang merangkumi pelbagai generasi.

“Saya ingin melihat proses pembentukan manifesto dilaksanakan dan ianya perlu melibatkan ahli parti serta rakyat secara keseluruhan.

“UMNO/BN perlu turun ke bawah untuk mendengar pandangan dari rakyat. Manifesto kali ini adalah manifesto yang terhasil daripada pertemuan dan perbincangan dengan rakyat khususnya kumpulan sasar yang telah ditetapkan dan juga kelompok yang ada masalah  tidak memberikan sokongan pada mereka maka golongan ini perlu dilihat dan mendengar kemahuan mereka,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa BN boleh mentadbir urus negara berdasarkan pengalamannya yang cukup lama terutamanya sektor ekonomi.

“Kita tahu dunia dan negara kini sedang bermasalah menghadapi ekonomi dunia maka pengalaman BN berjaya menghadapinya sebagai contoh kelembapan dan kegawatan ekonomi ianya berdasarkan ‘track record’ pentadbiran BN.

“Sepanjang pemerintahan BN berjaya dapat keluar dengan cepat dan memulihkan negara. Itu merupakan ‘senjata utama’ yang ada pada BN untuk ditawarkan pada rakyat,”  ujarnya lagi. – UMNO Online

Oleh: Amin Adnan

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.