Onn Hafiz Bidas Pembangkang… Cukup-cukuplah Main Politik, Jangan Hasut Pemikiran Rakyat

JOHOR BAHRU, 8 Jun – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menyelar sikap pihak pembangkang yang masih terus-terusan bermain politik dengan pelbagai hasutan yang tidak benar.

Terbaharu, Ketua pembangkang Johor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perling, Liew Chin Tong telah memuat naik video yang mendakwa tiada siapa mempedulikan Pangsapuri Saujana yang sudah usang dan kotor walaupun hanya satu kilometer sahaja jarak dari kediaman rasmi Menteri Besar.

Walhal perkara terbabit adalah tidak benar kerana Onn Hafiz terlebih dahulu mengambil langkah agar tindakan dilakukan namun pembangkang menjadikannya isu untuk berpolitik.

“Cukup-cukuplah nak main politik. Saya jelak dengan hasutan yang merosak pemikiran rakyat,” bidas Onn Hafiz terhadap tindakan dangkal pembangkang.

Realiti sebenar, Onn Hafiz telah mengarahkan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor untuk mengambil langkah segera dan bertindak demi membela rakyat setempat termasuklah di kawasan perumahan Pangsapuri Saujana.

Sebelum itu, Mohd Jafni juga memaklumkan bahawa Menteri Besar telah mengarahkan agar isu terbabit segera diselesaikan, malah ‘task force’ untuk menanganinya telah pun bertindak.

Sememangnya, di bawah pentadbiran kerajaan baharu Barisan Nasional (BN), para pemimpinnya yang diketuai oleh Onn Hafiz acapkali turun padang tanpa sebarang protokol agar apa-apa isu berkaitan kepentingan rakyat segera diselesaikan.

Antaranya ialah soal kebajikan dan kepentingan masyarakat termasuk membaik pulih jalan di kawasan Hospital Sultanah Aminah (HSA), penambahbaikan perkhidmatan awam dan bas-bas kegunaan orang ramai serta masalah di Tambak Johor dari Singapura untuk ke Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) di Bangunan Sultan Iskandar (BSI). – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.