Kesetiaan Kepada BN Kerana Asasnya Yang Komprehensif, Mencakupi Kepentingan Rakyat Serta Negara

KUALA LUMPUR, 8 Jun – Kesetiaan kepada Barisan Nasional (BN) antara lain bermaksud sentiasalah mengutamakan gabungan politik ini tanpa rasa gentar dan gusar dalam keadaan apa sekali pun, ujar Pengerusinya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Imbasnya, suatu ketika beliau bertegas mempertahankan BN walau ditekan dan diugut sesudah Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) adalah kerana nilai kesetiaan yang tidak berbelah bahagi.


“Kesetiaan kepada BN bukan bersifat membuta tuli atau takut pada sesiapa, tetapi kerana keyakinan nan tinggi terhadap asasnya yang komprehensif dan mencakupi kepentingan rakyat serta negara.

“Juga atas kepercayaan dan ketetapan hati inilah satu-satunya gabungan politik yang mencapai maksud pembentukan sebuah kerajaan rakyat oleh rakyat untuk rakyat.

“Keyakinan bertambah teguh tatkala menyaksikan kegagalan demi kegagalan gabungan politik lain mentadbir dan menguruskan negara selepas diberi peluang oleh mereka yang ‘bereksperimen’,” kata Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO di dalam satu catatan di Facebook.

Jelasnya, tujuan BN adalah asas kepada kemakmuran dan kestabilan kerana memupuk dan mengekalkan satu bangsa Malaysia yang hormoni dan bersatu-padu serta berusaha untuk mencapai pembangunan jasmani dan rohani.

“Mengekalkan Islam sebagai agama Persekutuan, tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan tenteram di mana-mana jua di dalam Persekutuan.

“Menegak dan mengamalkan prinsip-prinsip Rukun Negera, berusaha untuk mewujudkan suatu masyarakat adil dan saksama. Begitu juga mengeratkan lagi perhubungan dalam kalangan ahli,” katanya lagi.

Justeru tambahnya, janganlah ada gundah-gulana, duka dan lesu terhadap keyakinan dan kesetiaan itu tatkala perajurit BN sedang menuju PRU-15 dengan semangat dan keazaman penuh membara.

“Perjuangan BN adalah rakyat dan negara, maka tiada apa yang perlu dikhuatiri untuk sebuah kebangkitan BN yang luhur dan murni.

“Kita maju dan kita mara bersama penuh bijaksana dan pengetahuan,” ujarnya. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.