UMNO Punya Keistimewaan Tersendiri Bawa Aspirasi Rakyat, Parti – Dr Zambry

BENTONG, 7 Jun – Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) merangkap Ketua UMNO Bahagian Lumut Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berpandangan bahawa UMNO/BN mempunyai keistimewaannya yang tersendiri dalam membawa aspirasi perjuangan kepada rakyat.

Katanya, pelbagai pandangan dibincang dan dikemukakan kepimpinan yang dilakukan bagi merangka strategi terbaik demi kepentingan agama, bangsa dan negara.

“Indahnya UMNO ini kerana ada pelbagai pandangan daripada setiap sudut tetapi akhirnya kita simpulkan itu atas nama kepentingan parti.

“Tambah pula dalam parti kita bukan bersifat homogeneous tetapi adalah parti yang mempunyai kepelbagaian.

“Kena jaga dari segi adab-adab dalaman parti setuju atau tidak itu perkara biasa… dalam konteks parti mana ada semua setuju,” katanya.

Dr Zambry berkata demikian pada sesi diskusi bertajuk Pembinaan Naratif sempena Pemukiman Penerangan UMNO Malaysia yang turut dihadiri Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek di Institut Latihan Memperkasa Ummah, pada Sabtu.

Beliau juga berkata rakyat pada ketika ini bijak dalam menilai sosok kepimpinan yang benar-benar berkualiti.

Katanya kriteria tersebut adalah penting terutama dalam mengetengahkan kepimpinan baharu pada pilihan raya akan datang.

“Penampilan tokoh-tokoh dengan cara berinteraksi itu sangat penting bahasa badan, pertuturan, perkara yang hendak disampaikan, sombong atau tidak.

“Ini antara perkara yang kita kena fikirkan sebab hendak menampilkan wajah UMNO/BN yang baharu seperti ditonjolkan di Melaka dan Johor.

“Paling mustahak ialah pastikan imej-imej yang kita hendak tonjolkan itu dapat diterima oleh rakyat di kawasan yang berkenaan dan akhirnya memberi kemenangan kepada BN dalam pilihan raya akan datang,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.