Ahmad Zahid Gesa Kembalikan Universiti sebagai “Brain Trust” Utama Negara

KUALA LUMPUR, 7 Jun – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggesa agar universiti dikembalikan sebagai ‘Brain Trust’ utama negara apatah lagi telah banyak yang diperkatakan berkenaan sistem pendidikan negara kita.

Katanya yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), kebanyakan diperkatakan menyentuh isu kualiti dan kebolehpasaran graduan terutamanya dalam mendepani ekonomi yang semakin disruptif dan tidak terduga.

“Saya tidak berniat untuk memberi komen berkenaan isu ini buat masa ini, tetapi saya ingin menyentuh berkenaan agenda universiti yang perlu disemak kembali.

“Agenda universiti perlu disemak kembali agar hasil penyelidikan dan kesarjanaannya lebih banyak dimanfaatkan dan menjadi agen penyelesai masalah-masalah yang sedang dihadapi rakyat dan negara. Bukannya hanya di rak perpustakaan sahaja.

“Jika kita meneliti motto sesetengah universiti tempatan negara. UTM misalnya, pada jatanya tertera motto ‘kerana Tuhan, untuk manusia’. UPM misalnya ‘berilmu, berbakti’ dan sebagainya merupakan cerminan semangat sebenar sesebuah universiti menjadi penyuluh jalan keluar dari permasalahan rakyat,” katanya dalam hantaran melalui laman facebooknya berkaitan hal terbabit.

Jelasnya, dengan himpitan masalah ekonomi yang menimpa negara seperti kenaikan harga barangan, keperluan untuk melihat semula pengurusan fiskal negara bagi menampung subsidi yang semakin meningkat, kekurangan tenaga buruh dalam sektor industri berkepentingan, penguncupan nilai mata wang negara dan masalah sekuriti makanan antara lainnya memerlukan idea-idea kesarjanaan daripada universiti-universiti di negara ini.

“Bukan itu sahaja, masalah yang dihadapi negara tidak terhenti setakat isu ekonomi, malah masalah sosial dan nilai kemanusiaan masyarakat kita juga semakin terhakis.

“Dalam minggu ini sahaja, telah berlaku dua kejadian pembunuhan kejam – wanita yang mengandung tujuh bulan ditembak bermotifkan cemburu dan seorang ibu yang dicincang lima belas disebabkan sengketa harta pusaka. Begitu juga isu pengedaran dadah, masalah PATI dan sebagainya.

“Kesemua ini jelas menunjukkan betapa pentingnya peranan universiti di Malaysia dalam memberi saranan yang serius kepada pemerintah atau ulil amri dalam menyelesaikan pelbagai permasalahan negara.”

Ujarnya, beliau tahu sudah banyak penyelidikan telah dan sedang dijalankan oleh ahli akademik di universiti tetapi sudah tiba masanya, penemuan mereka diketengahkan secara strategik bagi memberikan impak besar dan menyeluruh negara dalam membantu menangani pelbagai isu ekonomi, pembangunan, kebudayaan, politik dan sosial negara.

“Banyak idea kreatif, inovasi dan gagasan-gagasan penting perlu dimanfaatkan oleh penggubal kerajaan, pihak industri dan masyarakat sesuai untuk menjadikan universiti sebagai ‘Brain Trust’ Utama Negara,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.