Usah Dibuai Kejayaan Lalu, Fokus Gerak Kerja PRU15 – Shahril

BENTONG, 6 Jun – Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Shahril Hamdan mengingatkan ahli parti untuk menghayati pesanan Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi agar sentiasa bergerak kehadapan tanpa terlalu dibuai dengan kejayaan sebelum ini.

Jelas beliau, ini kerana fokus utama yang perlu dilakukan adalah melaksanakan gerak kerja sebaiknya bagi memastikan UMNO kembali mendominasi kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kelak.

“Presiden menceritakan dengan ucapan yang amat bermakna berkenaan perjalanan parti pasca 2018 tetapi dengan satu pesanan penting yang saya sendiri hadam iaitu jangan kita dibuai nostalgia.

“Bukan hanya nostalgia 20 atau 30 tahun dahulu tetapi apa yang beliau cuba sampaikan adalah jangan dibuai nostalgia waima Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor sekalipun kerana yang penting selepas PRU UMNO mendominasi kerajaan dan memandu negara ini,” katanya.

Shahril yang juga Naib Ketua Pergerakan UMNO Malaysia berkata demikian pada perasmian penutup Permukiman Penerangan UMNO Malaysia yang berlangsung semalam.

Majlis penutup tersebut juga turut dihadiri oleh Perdana Menteri merangkap Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin dan Datuk Khaidiriah Abu Zahar serta kepimpinan parti yang lain.

Permukiman selama tiga hari dua malam yang bermula sejak Jumaat di Pusat Latihan Memperkasa Ummah (ILMU) itu melibatkan ketua-ketua penerangan peringkat negeri serta bahagian dari seluruh negara.

Sementara itu, Shahril juga mengakui bahawa kerja-kerja penerangan mempunyai cabarannya yang tersendiri.

“Bukan mudah untuk kita mempertahankan sesuatu isu apabila ianya tidak henti-henti datang tapi sejak bila kerja penerangan ini mudah?

“Sebelum PRU14 bukannya tidak ada isu lebih banyak barangkali dan kontroversi yang tidak perlu kita singkap semula malah mengaitkan BN ini dengan barang naik tapi kita buat kerja.

“Sebab kita orang penerangan hendak pastikan parti ini menang pada PRU14 tapi sebaliknya yang terjadi namun disiplin gerak kerja itu berterusan sinonim dengan maksud kita sebagai jentera penerangan dan komunikasi parti,” ujar beliau. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.