UMNO Lalui Fasa Perubahan, Kestabilan Dan Peremajaan… Bawa Naratif Tersendiri – Shabery

BENTONG, 6 Jun – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berpandangan bahawa parti pada ketika ini melalui fasa perubahan yang bersesuaian dengan kehendak rakyat.

Jelas beliau ianya meliputi aspek kestabilan dan juga peremajaan yang dibawa sejak Pilihan Raya Negeri (PRN) lepas.

“Perubahan yang berlaku kerana kita membawa naratif berbeza apabila kita pergi ke Melaka dan Johor, ada dua perkara yang digabungkan iaitu kestabilan dan peremajaan dengan mengenengahkan calon baharu.

“Kerana naratif yang digambarkan sebelum ini bahawa UMNO ini parti orang lama tapi di Melaka kita ubah,” katanya.

Ahmad Shabery berkata demikian pada sesi diskusi bertajuk Pembinaan Naratif sempena Pemukiman Penerangan UMNO Malaysia yang turut dihadiri Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir di Institut Latihan Memperkasa Ummah pada Sabtu.

Jelas beliau, strategi dengan meletakkan calon baharu memberikan kemenangan kepada parti meskipun menerima pelbagai kritikan kerana mengambil keputusan bertanding solo terutama ketika di Melaka.

“Pada waktu itu orang kata Melaka kalau hendak menang kita kena baik dengan PPBM… ada juga yang kata kena bertanding 13 kerusi, lain-lain kerusi kongsi dengan Pas.

“Ada juga yang kata pergi solo paling tinggi boleh pergi tujuh atau lapan kerusi sahaja.

“Tetapi keputusan yang dibuat oleh Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada waktu tersebut dengan ketetapan yang dibuat bahawa no Dap, no Anwar, no PPBM dan kesudahannya di Melaka kita menang.

“…dan faktor kemenangan tersebut adalah kestabilan dan peremajaan yang diketengahkan parti pada ketika itu,” ujar beliau.

Beliau juga berkata bahawa keputusan tersebut meletakkan bahawa UMNO membawa paradigma baharu yang tidak dibawa parti lain.

“Cerita ini kita kena bawa dan kembangkan untuk menggambarkan UMNO ini bukan parti kuno, terkebelakang, ‘warlord’ malah parti ini memberi kebaikan, kestabilan, kemakmuran kepada rakyatnya.

“Kalau ada orang ingin membuat perubahan jangan pergi kepada PKR, MUDA, Dap atau parti-parti lain kerana hanya UMNO yang mencetuskan perubahan dan kita telah buktikan kita yang mencetuskannya. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.