Gunakan Pelbagai Kaedah Depani PRU, Aplikasi Kekuatan UMNO – Shahril Hamdan

BENTONG, 5 Jun – Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan menegaskan bahawa UMNO bersama Barisan Nasional lebih baik daripada parti-parti lain yang pernah mentadbir negara.

Menurutnya ianya cukup berbeza dengan pihak lain maka sewajarnya UMNO gunakan pelbagai kaedah dan mengaplikasi kekuatan parti  untuk mendepani Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

“Setiap pimpinan parti UMNO dalam setiap peringkat semuanya ada kaedah dan kemampuan serta harus digemblengkan supaya masing-masing boleh jaga ‘market’ yang berbeza. Itu kekuatan UMNO berbanding dengan parti-parti lain.

“Parti-parti lain hanya satu cara saja. UMNO ini sebenarnya dalam tradisinya sudah pelbagai kemampuan dan ‘skill’ yang ada dalam jentera. Kita harus gunakan supaya tidak hanya menggunakan satu kaedah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap membicarakan sesi ekonomi rakyat sempena Pemukiman Penerangan UMNO Malaysia, semalam.

Permukiman selama tiga hari dua malam di Pusat Latihan Memperkasa Ummah (ILMU) melibatkan ketua-ketua penerangan peringkat negeri serta bahagian dari seluruh negara.

Shahril yang juga Naib Ketua Pergerakan UMNO berharap jentera penerangan jangan memandang rendah terhadap anak muda yang sering berbicara di media sosial dan seharusnya memberikan fakta, bukannya retorik semata-mata.

“Kita tidak boleh main retorik dan main sentimen… perlu ada satu tawaran memperbaiki ekonomi untuk rakyat terutamanya golongan muda. Jangan pandang enteng dengan kumpulan anak muda sebab mereka akan berbicara dalam media sosial dan boleh mempengaruhi keluarga masing-masing malah ini pernah berlaku pada Pilihan Raya Umum (PRU) 14.

“Janganlah jentera-jentera penerangan ‘joint crowd’ yang membantai pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri kerana Perdana Menteri adalah wakil dari UMNO. Sebenarnya BN lebih baik dari PH dan PN,” jelasnya.

Tambah Shahril lagi, dikalangan pimpinan UMNO harus menunjukkan ketelusan dan kemampuan berbicara mengenai isu yang lebih besar. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.