Serap Isu Rakyat, Selami Denyut Nadi Masyarakat… Pesan Presiden UMNO
BENTONG, 4 Jun – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap jentera penerangan dapat menyerap sebaiknya segala isu yang berkaitan dengan rakyat dalam usaha membantu masyarakat pelbagai peringkat.
Menurut beliau segala perkara yang berkaitan dengan masyarakat perlu menjadi keutamaan supaya segala komunikasi baik secara lisan dan bukan lisan dapat diperjelaskan sebaiknya sekaligus dapat memperjuangkan soal tersebut demi kepentingan rakyat.
“Jangan ambil mudah dan pendekatan harus diubah… komunikasi bersemuka cukup penting namun komunikasi tanpa lisan turut mendominasi mesej… jadi pemikiran rakyat dipengaruhi sama ada komunikasi lisan atau bukan lisan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Permukiman Penerangan UMNO Malaysia, malam tadi. Turut serta Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan.
Permukiman selama tiga hari dua malam di Pusat Latihan Memperkasa Ummah (ILMU) melibatkan ketua-ketua penerangan peringkat negeri serta bahagian dari seluruh negara.
Dalam pada itu beliau turut mengingatkan peranan yang harus dimainkan oleh seluruh jentera parti termasuklah jentera penerangan.
“Kita harus ingat peranan kita… sebagai Ketua Penerangan masing-masing sudah pastilah mempunyai peranan tersendiri untuk membantu memberikan kemenangan kepada calon dan parti.
“Politik hari ini adalah sesuatu yang dinamik dan tentunya juga pelbagai cabaran akan menanti namun percayalah dengan usaha dan ikhtiar serta tawakal, kita mampu menghadapinya, insya-Allah,” ujarnya lagi. – UMNO Online