PRU-15: Bung Moktar Ingatkan Bersedia Bukan Sekadar Ungkapan Tapi Bekerja Capai Kemenangan

KOTA KINABALU, 4 Jun – Pelbagai aspek perlu diteliti untuk Barisan Nasional (BN) khususnya di Sabah sama ada parti itu benar-benar telah bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menegaskan bahawa bersedia bukan sekadar ungkapan yang mudah dilaungkan dengan sorakan tanpa perancangan yang rapi.

Menurut beliau persediaan itu merangkumi pelbagai aspek ini termasuklah keupayaan sumber, persiapan jentera dan strategi untuk menang menundukkan lawan

“Pelbagai aspek perlu diteliti untuk BN agar benar-benar berada dalam kedudukan bersedia untuk menghadapi PRU ke-15 kerana matlamat utama kita yang mengambil alih semula pemerintahan negara,” katanya.

Beliau yang juga Ketua UMNO Sabah berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam ucapannya di Konvensyen dan Sambutan Ulang Tahun BN ke-48 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) baru-baru ini.

Dalam ucapannya, Ismail Sabri menyatakan jika BN sudah bersiap sedia beliau tidak akan melewatkan sesaat pun PRU-15 seperti dipersetujui semasa Perhimpunan Agung UMNO yang lalu.

Sehubungan itu Bung Moktar berharap kesiap siagaan jentera BN khususnya di Sabah perlu dipertingkatkan dan menganggap PRU ke-15 sebagai agenda penting yang akan menentukan masa depan parti dan negara.

“Bagi waktu yang semakin hampir menghadapi PRU ke-15 ini segala gerak kerja dan persiapan perlu diperkemaskan sebaiknya, selain kekerapan turun padang mendekati rakyat, daftar pengundi perlu dikemaskini.

“Ini termasuklah pengundi muda 18 tahun yang turut mempengaruhi bentuk sokongan kepada BN. Justeru pendekatan yang sesuai kepada golongan ini perlu diselaraskan agar mereka berpihak kepada BN,” katanya.

Bung yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MKT) UMNO turut mengingatkan jentera dan anggota parti BN di Sabah agar tidak berada di zon selesa setelah melihat dua kemenangan BN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor.
Ini kerana menurut beliau, situasi dan sikap pengundi adalah berbeza.

“Jentera parti perlu menanamkan iltizam bahawa BN Sabah akan menjadi penyumbang terbesar dalam PRU ke-15 nanti, jadi ketepikan dulu soal calon. Yang penting kita perlu bekerja keras mendekati rakyat diakar umbi agar perjuangan BN benar-benar dapat diterima oleh rakyat,” katanya.

Tambah Bung konvensyen baru-baru ini memperlihatkan solidariti pemimpin BN.

“Justeru semangat yang ada perlu dibawa ke kawasan masing-masing dengan semangat muafakat berpaksikan perjuangan BN yang sebenarnya membela rakyat dan memakmurkan negara,” ujarnya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.