Keluarga Malaysia: Depani Segala Cabaran Sebagai Sebuah Keluarga – Ismail Sabri

KUALA NERUS, 4 Jun – Konsep Keluarga Malaysia mengajak rakyat untuk mengenepikan segala perbezaan dan bersama menggembleng tenaga dalam mendepani apa jua cabaran sebagai sebuah keluarga.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata sifat inklusif dalam konsep itu yang merentasi sempadan agama, bangsa dan kaum, penting dalam usaha memulihkan semula negara selepas pandemik.

“Apabila kita semua mempunyai titik persamaan, ia akan menyatupadukan rakyat dalam mencapai kesejahteraan ekonomi dan kestabilan politik.

“Kesejahteraan dan kestabilan inilah yang akan kita wariskan kepada anak cucu kita pada masa akan datang,” katanya dalam ucapan perasmian penutup Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) di Kompleks Sukan Negeri Terengganu di sini, hari ini.

Pada penganjuran Jelajah AKM kali ini, Kementerian Pendidikan dipilih sebagai kementerian peneraju bagi pengisian program dengan fokus utama ‘Keluarga Malaysia Keluarga Berilmu’.

Sementara itu Ismail Sabri berkata kerajaan menyedari betapa pentingnya pendidikan kepada masa depan Keluarga Malaysia.

Oleh itu katanya kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM5.034 bilion bagi projek pembangunan sekolah dan institusi pendidikan di seluruh negara, di bawah Rancangan Malaysia Ke-12.

Katanya bagi Terengganu, terdapat 79 projek baharu dan sambungan bagi pembangunan sekolah serta institusi pendidikan, dengan kos keseluruhan RM914.79 juta.

“Daripada jumlah ini, sebanyak 42 projek telah siap sepenuhnya, 18 projek di peringkat pelaksanaan atau pembinaan dan 19 projek berstatus prabina,” katanya.

Dalam pada itu Ismail Sabri juga berharap aspek Keterangkuman, Kebersamaan dan Kesyukuran dalam masyarakat majmuk Keluarga Malaysia yang diterap dalam Jelajah AKM, terus diamalkan tanpa mengira sentimen agama dan bangsa.

“Ibarat kata pujangga ‘Keluarga tak selalu bererti saudara sedarah, tetapi sering kali merupakan gambaran dari suatu komuniti, organisasi atau bangsa’.

“Saya berharap Keluarga Malaysia dapat memanfaatkan peluang-peluang yang ada, sepanjang penganjuran Jelajah AKM,” katanya.

Ismail Sabri turut mengucapkan terima kasih kepada warga Terengganu atas sambutan yang menggalakkan serta komitmen padu yang ditunjukkan oleh kerajaan negeri.

Majlis penutup Jelajah AKM Terengganu turut dihadiri Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar dan Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.