Persepsi Masyarakat Sudah Berubah, BN Aplikasi Idea Baharu – Bung Moktar
KUALA LUMPUR, 3 Jun – Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin meluahkan kesyukuran dengan kerancakan Konvensyen serta Sambutan Ulang Tahun ke-48 Barisan Nasional (BN) pada Rabu yang telah menampakkan satu perubahan dan idea-idea baharu.
Jelas beliau, ianya juga sudah tentu dapat merubah persepsi masyarakat di luar sana yang sering kali diperlihat sisi negatif mengenai parti ini.
“Kita telah memperlihatkan bahawa negara ini telah dibina oleh BN tetapi saya percaya bahawa BN tidak boleh mempertahankan jawatannya hanya bersandarkan kepada trek rekod semata-mata,” katanya ketika ditemui UMNO Online.
Tambah Bung lagi, BN juga perlu untuk mengetengahkan agenda pembaharuan mengikut peredaran zaman khususnya bagi memperoleh kepercayaan rakyat.
“Perubahan masa itu sendiri menuntut pemimpin BN sama ada di peringkat atas dan juga di bahagian-bahagian perlu juga merungkai sesuatu yang baharu termasuk strategi, pendekatan yang sudah semestinya menggamit hati rakyat itu sendiri.
“Kita perlu ada tawaran baharu kepada masyarakat dengan memulihkan ekonomi, keyakinan dan sebagainya.
“Masa ini sudah sesuai untuk BN mengambil alih memerintah negara ini sebab kita yakin pemimpin BN menyedari kesilapan, kelemahan dan kesalahan pada masa-masa yang lalu,” ujar beliau. – UMNO Online