Masing-Masing Ada Peranan, Eratkan Lagi Hubungan Jayakan Misi BN Untuk Menang PRU15 – Ir Hasni

KUALA LUMPUR, 3 Jun – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad percaya segala kekuarangan serta apa-apa kelompongan yang ada dalam jentera akan dapat diperbetulkan dengan sebaik mungkin selepas Konvensyen Barisan Nasional (BN) dilaksana Rabu lalu.

Malah beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor penuh yakin dengan keterbukaan pimpinan untuk sedia menerima segala cadangan dan pandangan akan memberi kelebihan kepada parti dalam usaha memperkemaskan lagi gerak kerja bagi berdepan Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“Idea perlulah dikemukakan supaya pimpinan yang menunjukkan keterbukaan serta menerima pandangan daripada pelbagai pihak itu dapat digunakan sebaiknya. Ini adalah satu peluang dan ruang kepada ahli-ahli di semua peringkat untuk mereka menyalurkan pandangan.

“Ini adalah peluang yang harus direbut oleh semua pihak dan idea amat dialu-alukan kerana sampai masa dan ketika di mana BN perlu berada ditengah-tengah masyarakat yang bukannya sekadar sebuah gagasan atau hanya menampakkan kewujudan parti berkenaan,” katanya kepada UMNO-Online.

Kata beliau lagi ikrar BN untuk sama-sama membawa negara ke arah yang lebih sejahtera dan ke arah yang lebih baik adalah satu iltizam yang cukup bermakna dan menggambarkan keikhlasan parti berkenaan.

“Hasrat BN untuk bawa negara dan masyarakat ke tahap yang lebih sejahtera… lebih makmur dan lebih berjaya dari egi ekonominya. Ini adalah agenda besar dan kita secara umumnya hari ini berikrar untuk membina semula keyakinan rakyat kepada BN.

“Ini perlu dilakukan oleh semua pihak dan kekurangan yang terdapat dalam pimpinan di peringkat atasan perlulah dibantu dan didukung oleh  penyokong parti. Kita semua ada peranan untuk memperkukuhkan BN lebih-lebih lagi apabila kita nak berdepan PRU akan datang dan kita diingatkan agar jangan sesekali rasa selesa dan leka dengan kejayaan-kejayaan sebelum ini,” ujarnya.

Dilaporkan, Rabu lalu BN mengadakan konvensyen dan sambutan ulang tahunnya ke-48 di World Trade Centre (WTC) dengan kehadiran pimpinan pelbagai peringkat serta pengisian pelbagai pembentangan serta ucapan pimpinan utama BN – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.