BN Punya Acuan Dan Formula Unik Tidak Dimiliki Parti Lain, Bina Negara Bangsa – Dr Asyraf Wajdi

KUALA LUMPUR, 3 Jun – Barisan Nasional (BN) mempunyai acuan dan formula unik yang tidak dimiliki oleh parti-parti lain, kata Ketua Pemudanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Jelas beliau ianya juga meliputi ramuan perkongsian kuasa yang berasaskan kepada kesefahaman jitu, semangat kesederhanaan, kesetiaan dan saling hormat-menghormati yang seterusnya membawa kepada pembinaan sebuah negara bangsa.

“Pasak-pasak yang telah  dibangunkan ketika pentadbiran dalam konteks negara kita berpandukan kepada Perlembagaan Persekutuan dan diperkukuhkan melalui Rukun Negara serta pelbagai dasar-dasar yang kita lakukan.

“Ianya untuk memastikan negara ini mempunyai sifat keindukkan Bumiputera, Islam, Melayu dalam suasana kemajmukan tidak akan sesekali kita persia-siakan dan sebab itulah ini adalah ramuan yang besar maknanya.

“BN mempunyai trek rekod yang baik untuk kita zahirkan apa yang kita boleh perbaiki berasaskan pengalaman yang lalu,” katanya ketika ditemui UMNO Online baru-baru ini.

Asyraf yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia berkata rakyat juga sebenarnya mahu BN kembali mentadbir negara secara sepenuhnya tetapi dalam wajah serta agenda pembaharuan.

“Perlu menangkap imaginasi anak-anak muda bahawa kita boleh berubah mengikut peredaran zaman apabila kita mengikut tadbir urus yang baik begitu juga dari segi ketelusan, prinsip moral integriti.

“Kita harus bergerak ke hadapan mengakui kelemahan dan kesilapan lampau tetapi menyantuni apa yang dikehendaki oleh rakyat terutama anak muda.

“Tampilkan muka baharu pada pilihan raya dengan suasana yang segar, tulus dan mulus insya-Allah kita akan diterima oleh rakyat apatah lagi dengan pendekatan menampilkan wajah-wajah baharu sebagai calon Pilihan Raya Umum ke-15 sebagaimana kita lakukan di Melaka dan Johor,” ujar beliau. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.