Konvensyen BN Gambaran Nilai Setiakawan Berpaksikan Muafakat – Rais

KUALA LUMPUR, 2 Jun – Konvensyen dan sambutan ulang tahun ke-48 Barisan Nasional (BN) yang diadakan semalam memperlihatkan keutuhan parti berkenaan selain mengambarkan nilai setiakawan yang cukup tinggi berpaksikan falsafah di dalam parti tersebut.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput, Datuk Rais Yasin dalam satu kenyataan kepada UMNO-Online berkata perjuangan yang dipasak dengan panji kesetiaan ternyata menjadi kunci utama dalam menggerakkan perjuangan.

Malah kata beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Tangga Batu, keutuhan parti-parti bernaung di bawah lambang ‘dacing’ memberikan makna yang amat signifikan bukan hanya kepada pendukung, penyokong malah kepada rakyat.

“Sungguh teruja dan penuh bersemangat melihat suasana konvensyen yang julung-julung kali diadakan ini. Jelas sekali dapat dilihat keutuhan parti BN yang terbina hasil permuafakatan murni selama 48 tahun.

“Nilai setiakawan sesama ahli BN telah berjaya dibuktikan tatkala melalui fasa getir ketika kekalahan PRU14. Namun kini berkat kesepaduan pemimpin dan akar umbi menjadikan BN mampu bangkit semula dengan lebih segar dan bertenaga,” katanya.

Kata beliau lagi, hasil kestabilan yang dibawa BN, ternyata negara telah berjaya dibentuk dan menghasilkan pelbagai manfaat yang dinikmati oleh seluruh rakyat.

“Perjuangan yang dipasak dengan janji kesetiaan ternyata menjadi kunci utama keutuhan hubungan parti-parti teras yang berpayung di bawah lambang keramat ‘dacing’. Hasilnya, kestabilan negara telah berjaya dibentuk dan sekaligus kurniaan nikmat kemakmuran terus dirasai oleh rakyat berbilang kaum di Malaysia sehingga ke hari ini.

“Yakinlah, BN satunya gabungan parti yang mampu membina kerajaan yang stabil demi memperjuangkan denyut nadi rakyat. Tiada galang gantinya permuafakatan politik BN yang berasaskan kesetiaan dan kejujuran. Marilah kita bersama mempertahan dan meneruskan legasi perjuangan BN demi anak watan tercinta,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.