Presiden Parti Kompenan Tandatangan Tujuh Tekad BN PRU-15

KUALA LUMPUR, 1 Jun – Tujuh Tekad Barisan Nasional (BN) Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 ditandatangani sebelum tirai Konvensyen BN dan Sambutan Ulang Tahun BN ke-48 ditutup hari ini.

Acara menandatangani watikah tekad terbabit didahului oleh Presiden PBRS, Tan Sri Joseph Kurup dan Presiden MIC, Tan Sri Dr S.A. Vigneswaran diikuti Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Presiden MCA, Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong.

Tekad terbabit ditandatangani dengan disaksikan para peserta yang hadir dalam konvensyen julung kalinya selepas BN kehilangan mandat sebagai tampuk kerajaan selepas PRU ke-14.

Kemudiannya, bacaan Tekad BN PRU15 telah dilaksanakan oleh Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Berikut adalah kandungan Tekad BN PRU15:

Bahawasanya kami, pimpinan, ahli serta pendukung parti Barisan Nasional dengan sesungguhnya bertekad:

1. MENGUNGGULI semula mandat baharu rakyat dengan menawarkan sebuah kerajaan yang menjamin kestabilan demi kemakmuran dan kesejahteraan negara;

2. MENUMPAHKAN kesetiaan kepada prinsip asas kenegaraan yang berpaksikan kepada Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara dengan memupuk semangat perpaduan antara kaum dan wilayah demi menjamin keharmonian;

3. MENDUKUNG nilai-nilai politik kesederhanaan dan menjadi wadah yang terbuka dan inklusif dalam menerajui persefahaman politik demi kerukunan negara;

4. MENGUSAHAKAN rangsangan-rangsangan ekonomi yang lebih mapan bagi meningkatkan keutuhan, kedudukan dan daya saing negara serta berupaya merapatkan jurang ekonomi antara kelas pendapatan, wilayah dan etnik menerusi agihan ekonomi yang adil dan saksama

5. MEMPERKASAKAN agenda perubahan melalui transformasi institusi demokrasi dan perundangan di samping menjunjung amalan tata kelola dengan meningkatkan ketelusan serta integriti;

6. MENAWARKAN penglibatan yang lebih besar generasi muda dalam kepimpinan negeri dan negara bagi memberikan nafas segar dalam pentadbiran dan sesuai dengan perubahan demografi, pendidikan serta keperluan semasa negara; dan

7. MEMPERTAHANKAN kedaulatan dan keselamatan negara serta terus membawa suara berkecuali Malaysia di peringkat antarabangsa. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.