Nilai Setiakawan, Perjuangan BN Kekal Erat Meskipun Berdepan Pelbagai Cabaran

KUALA LUMPUR, 1 Jun – Presiden MCA, Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong berpandangan bahawa nilai setiakawan, perjuangan dimiliki oleh Barisan Nasional (BN) perlu kekal erat meskipun berdepan pelbagai cabaran yang mendatang.

Katanya, MCA juga akan terus kekal sebagai sebuah parti moderat, progresif dan relevan dengan menawarkan sesuatu yang lebih baik kepada pengundi dengan meneruskan khidmat terbaik kepada rakyat tanpa mengira agama, kaum dan latarbelakang.

“Dalam masa sama kami dalam MCA tidak sesekali akan menjadi sebuah parti ekstrem semata-mata meraih undi seperti Dap. Kami sedar politik kotor sedemikian tidak membawa manfaat kepada masyarakat malah akan menyebabkan hubungan kaum menjadi semakin tegang.

“Apa jua perkara atau isu BN akan tangani bersama-sama dalam suasana harmoni, meneruskan amalan bermusyawarah dan sentiasa mencapai keputusan secara konsensus inilah semangat dan prinsip yang perlu dipelihara sampai bila-bila.

“Saya yakin semangat kita ini akan menjadi panduan dan contoh kepada generasi akan datang yang bakal mewarisi parti keramat kita ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi ucapan dasar parti komponen pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Barisan Nasional Ke-48 yang diadakan hari ini.

Sementara itu bagi Presiden MIC, Tan Sri Vigneswaran Sanasee beliau berpandangan perjuangan UMNO, MCA dan MIC sejak zaman Perikatan dan kini di bawah Barisan Nasional sejak 1974 tidak pernah berubah.

Beliau berkata nilai asas perjuangan yang murni tersebut bermula untuk kemerdekaan tanah air yang kemudiannya diterjemahkan untuk pembangunan sosio-ekonomi masyarakat berbilang kaum negara ini.

“Kini UMNO, MCA dan MIC bersama PBRS sekarang, sentiasa bersama untuk mengemudi negara ini tetapi ini hanya dapat dilaksanakan dengan memelihara kesatupaduan kita di peringkat parti masing-masing dan juga dalam gabungan parti Barisan Nasional.

Dalam saat genting ini apabila keperluan semasa adalah untuk bergerak sebagai satu pasukan yang mantap, setiap ketua cawangan gabungan BN, setiap ketua bahagian gabungan BN dan setiap ahli gabungan BN harus bersedia untuk berganding bahu dan bersatu dibelakang kepimpinan BN untuk melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan.

“Ini sudah tentu akan memperhebatkan kekuatan kita dalam mendepani cabaran Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) saya menyarankan agar kita ingat kembali kepada janji-janji kestabilan, yang merupakan aku janji kepada rakyat di PRN Melaka dan Johor,” ujar beliau.

Bagi Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup, beliau menyifatkan bahawa kesetiaan parti ini kepada BN adalah tidak berbelah bahagi dan bersedia untuk bersama menuju ke PRU15.

Jelas beliau, persediaan juga sudah dilakukan jentera parti ini untuk memastikan bahawa BN bakal mencapai kemenangan selesa.

“Tidak perlu dihurai kesetiaan PBRS kepada BN saya minta kita semua ingat kembali ke tahun 1996 pengorbanan parti ini lebih daripada cukup sehinggakan pada ketika itu BN dapat membentuk kerajaan di Sabah.

“PBRS sentiasa bersama dengan BN itulah ketaatan dan kesetian… sememangnya bersedia untuk PRU15 khususnya di Parlimen yang PBRS boleh beri saingan hebat kepada pihak lawan nanti.

“Persediaan juga bukan hanya tertumpu pada jentera-jentera tetapi dari segi tenaga dan juga mental yakinlah apa yang kami lakukan,” katanya. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.