Konvensyen Kupas, Bicarakan Objektif Model BN, Komited Demi Kemenangan PRU-15

KUALA LUMPUR, 1 Jun – Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir memaklumkan bahawa kovensyen yang diadakan hari ini adalah untuk mengupas dan membicarakan objektif mengembalikan semula keyakinan rakyat kepada model BN bagi menjayakan cita-cita kemenangan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

Katanya, selepas 44 tahun penubuhan BN, kali pertama dalam sejarah tewas dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 dan negara menyaksikan fasa politik baru.

“Kini rakyat kembali kepada pencarian model dan formula terbaik untuk politik negara. Selepas tiga pakatan yang dihidangkan, Pakatan Harapan, Perikatan Nasional dan BN, rakyat boleh membuat penilaian, siapakah yang boleh memimpin dan mentadbir negara?” katanya.

Jelasnya, konvensyen ini adalah bertujuan untuk melihat perjalanan parti selama 48 tahun di bawah payung BN.

“Sejak 1952 tahun di bawah payung perikatan sehinggalah dibubarkan pada 1973. Dari perikatan hingga ke Barisan Nasional, kita mentadbir selama lebih 60 tahun.

“Politik bukanlah suatu yang statik. Ia sentiasa dinamik. Bergerak dan berubah dengan perubahan masa dan zaman. Apabila perikatan ditubuhkan, Tunku Abdul Rahman bersama Tan Cheng Lock dan VT Sambanthan bergerak atas matlamat dan bertemakan perjuangan ‘demi kemerdekaan’.”

Katanya, selepas peristiwa 13 Mei 1969, sebuah gabungan yang lebih besar diwujudkan iaitu Barisan Nasional.

“Ia dibina atas Kedinamikan politik negara ketika itu. Dengan tema ‘Demi Negara’. Alhamdulillah, kita pulih dari ketidakstabilan.

“Formula politik persefahaman (consociational politics) berkembang dan menjadi neraca untuk mengekalkan keamanan, kestabilan dan kemakmuran,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian dalam ucapan aluan sempena Konvensyen BN yang berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.