Konvensyen BN Teruskan Kesinambungan Ikatan Kukuh Dalam Parti – Norshida

KUALA LUMPUR, 31 Mei – Konvensyen Barisan Nasional (BN) yang akan diakadan esok merupakan satu langkah terbaik dalam usaha memastikan ikatan yang terbina sejak sekian lama diperkukuhkan.

Ketua Penerangan Wanita, Datuk Norshida Ibrahim berkata sejak BN mengalami kekalahan pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu, parti terus mengorak langkah bersama rakan-rakan sedia ada iaitu UMNO, MCA, MIC, dan PBRS serta diperkukuhkan lagi sokongan Friends of BN dalam berdepan beberapa siri Pilihan Raya Kecil (PRK) serta Pilihan Raya Negeri (PRN) iaitu Sabah, Melaka serta Johor.

Justeru beliau seterusnya berpandangan dengan adanya konvensyen yang diadakan selama satu hari, sudah pasti pelbagai idea dan input dapat dilontarkan oleh parti-parti yang berada dibawah naungan BN.

“Walaupun dalam tempoh yang singkat, tentunya ikatan yang sedia ada dapat dipereratkan bukan sahaja dengan lontaran pandangan masing-masing, malah akan turut melangkaui segala gerak kerja di pelbagai peringkat untuk parti berdepan PRU akan datang.

“Kerjasama serta muafakat di dalam BN perlu diperkukuhkan kerana dalam PRU ianya memerlukan gandingan kerjasama yang erat bagi melicinkan lagi pelaksanaan kelak. Setelah sekian lama konvensyen seumpama ini tidak diadakan, inilah masa yang terbaik untuk setiap parti melontarkan pandangan masing-masing kerana tujuan konvensyen ini adalah untuk mengukuhkan parti.

“Apatah lagi pada kali ini turut diadakan sambutan ulang tahun ke-48 BN yang membuktikan bagaimana parti berkenaan menyelusuri politik negara baik dalam keadaan senang mahupun susah. Apa yang diharapkan, dengan adanya konvensyen serta sambutan ulang tahun pada kali ini ianya akan memberikan suntikan semangat dan meningkatkan lagi gelodak perjuangan pelbagai peringkat untuk menghadapi PRU ke-15 nanti,” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Pada masa yang sama, beliau yang juga Ketua Wanita UMNO Segamat seterusnya mengharapkan apa yang diperbincangkan dan segala keputusan yang dicapai dilaksanakan sebaik mungkin.

“Tentunya Konvensyen tidak boleh hanya sekadar medan lontar pendapat, tidak boleh hanya jadi medan pemimpin mendengar kemudian bertepuk bersorak. Tetapi harus mampu menggerak fikiran serta menjadi langkah penyelesaian terhadap krisis.

“Yang penting dan utama sudah pastilah pelaksanaan mesti dilakukan sebaiknya supaya segala lontaran dan segala keputusan yang dicapai benar-benar memberi impak dan bukan hanya sekadar diperbincangkan di Dewan Merdeka,” tambahnya. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.