BN ke-48 Terus Bawa Kemakmuran Kepada Rakyat Dan Negara – Mutalif

KUALA LUMPUR, 31 Mei – Ketua UMNO Bahagian Petaling Jaya, Datuk Abdul Mutalif Abdul Rahim mengajak ahli parti untuk terus mendukung asas perjuangan Barisan Nasional (BN) terutama dalam membawa kemakmuran kepada rakyat dan negara.

Bersempena sambutan BN ke-48 ini beliau juga berharap parti terbabit menjadi pemangkin semangat bagi menuju ke Pilihan Raya Umum ke-15.

“Semoga dengan tahun yang begitu bermakna bagi kita sebab kita semua sedang bersiap siaga menunggu semboyan yang akan ditiup oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Selamat hari ulang tahun BN ke-48, marilah ayuh kita bersama memberikan kemakmuran kepada rakyat, hidup BN,” katanya ketika ditemui UMNO Online.

Mutalif yang Pengerusi BN Petaling Jaya juga turut meluahkan penghargaan kepada Ahmad Zahid yang komited memberikan sokongan kepada seluruh UMNO bahagian dalam meneruskan agenda mendekati rakyat.

“Terima kasih kepada beliau kerana memberikan sokongan dan dokongan kepada bahagian Petaling Jaya dan seluruh 190 UMNO Bahagian dan pengerusi- pengerusi BN seluruh negara,” ujar beliau.

Terdahulu, sambutan ulang tahun ke-48 ini akan menyaksikan penganjuran Konvesyen BN dengan tema ‘BN Melakar Masa Hadapan yang akan dirasmikan oleh Timbalan Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Utama Mohamad Hassan. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.