‘Sabotaj’ PM: Najib Tempelak Suara-Suara Sumbang, Sifatkan Tidak Logik Akal

KUALA LUMPUR, 26 Mei – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menempelak suara-suara sumbang yang membuat pelbagai dakwaan termasuklah kononnya beliau cuba mensabotaj Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sedangkan pelbagai cadangan yang diutarakan sebelum ini telah diambil kira dan dilaksanakan.

Jelas beliau menerusi perkongsian Facebooknya, logik yang dikemukakan menerusi media sosial itu langsung tidak masuk akal malah memperjelaskan kepada masyarakat umum hanya sekadar untuk terus memainkan persepsi negatif.

“Tak bersuara bermaksud sabotaj PM? Jika bersuara untuk hentam PM, maksudnya membantu?

“Logik apa ini. Ataupun nak minta idea Najib tapi malu? Abahkau kan ada? Suruh dia beri nasihat pulak. Lagipun, saya bukan tak bersuara semasa Ismail jadi PM. Harga ayam dan kawal inflasi harga makanan, saya dah banyak post. Tapi menteri lambat bertindak,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pekan seterusnya turut menyenaraikan beberapa perkara yang telah disuarakan sebelum ini telah  diambil peduli dan dilaksanakan oleh kerajaan hari ini.

“KWSP dah ‘settle’. Suruh kerajaan benarkan Telco ambil saham dalam DNB, kerajaan dah buat. Saran kerajaan memudahkan dan bukan menghalang micromobility, kerajaan tengah buat… Saran bantu Sapura, kerajaan juga tengah buat,” ujarnya.

Menerusi Facebooknya juga, Najib turut memuatkan page yang membuat dakwaan berkenaan dan komen-komen daripada netizen turut menarik apabila masing-masing mengambil kesempatan membuat pelbagai ulasan. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.