Ahmad Zahid Nafi Pecah Amanah Dana YAB, Pindah RM17 Juta Kerana Pegawai Cuai

KUALA LUMPUR, 24 Mei – Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini menafikan melakukan pecah amanah dana Yayasan Akalbudi (YAB) berjumlah RM 17,953,185.21, sebaliknya menyatakan wang itu dipindahkannya kepada sebuah firma guaman kerana bekas setiausaha eksekutifnya kerap melakukan kecuaian.

Jumlah dana yayasan itu melibatkan pertuduhan keenam daripada 12 kesalahan pecah amanah, yang dihadapi bekas timbalan perdana menteri.


Ahmad Zahid, 69, memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa beliau melantik Tetuan Lewis & Co bagi mengendalikan wang yayasan miliknya itu, memandangkan Mejar Mazlina Mazlan @ Ramly kerap melakukan kecuaian dalam menguruskan kewangan peribadinya dan YAB.

“Yang Arif, sepertimana yang saya nyatakan di awal keterangan bahawa banyak kali kesilapan dilakukan oleh Mazlina, termasuk menulis amaun yang berbeza dengan perkataan pada cek serta tidak menghantar penyata bulanan kad kredit serta dokumen lain apabila diminta.

“Pemindahan wang yayasan itu ke sebuah firma guaman bukan untuk pecah amanah, tetapi menggunakan firma itu bagi menguruskan akaun pelanggan yayasan berikutan firma tersebut mempunyai pegawai-pegawai yang berketerampilan atau berkemahiran untuk menjaga akaun tersebut,” katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian ketika disoal peguam Datuk Ahmad Zaidi Zainal pada hari keempat prosiding membela diri atas 47 pertuduhan membabitkan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram.

Menurut Ahmad Zahid, beliau banyak kali memberi nasihat serta panduan kepada saksi pendakwaan ke-90 itu, memandangkan wanita itu tidak mempunyai latar belakang perakaunan.

“Beliau (Mazlina) hanya meminta maaf tetapi mengulangi semula perbuatan itu. Apakah pilihan yang saya ada melainkan mencari jalan agar keseluruhan dana Yayasan Akalbudi dalam simpanan semasa bank (Affin Bank) dipindahkan kepada sebuah firma guaman yang mempunyai akauntan, pegawai akaun serta ‘good keeper’ yang menjaga akaun pelanggan,” katanya.

Kepada soalan Ahmad Zaidi dalam banyak-banyak firma guaman, mengapa Ahmad Zahid memilih Lewis & Co untuk mengendalikan dana YAB, Ahmad Zahid berkata seorang pegawai di Kementerian Dalam Negeri telah memperkenalkannya dengan peguam di Lewis & Co.


Mengenai pemindahan wang YAB kepada Lewis & Co, Ahmad Zahid berkata beliau sendiri telah memberi arahan kepada Affin Bank untuk membuat pindahan wang RM17,953,185.21 daripada bank itu kepada akaun pelanggan Lewis & Co dan wang tersebut masih milik YAB, bukan kepunyaan Yayasan Al Falah, firma guaman itu atau orang lain.

Selain itu, Ahmad Zahid berkata beliau tidak pernah mengarahkan Mazlina menggunakan dana YAB berjumlah RM107,509.55 untuk membayar polisi insurans kenderaan dan lesen kenderaan.

“Saya tidak tahu Mazlina akan menggunakan cek pratandatangan untuk membuat pembayaran polisi insurans kenderaan dan lesen kenderaan milik persendirian.

“Cek-cek yang saya pratandatangan adalah untuk kegunaan segera sahaja, seperti pembayaran kepada kontraktor-kontraktor bagi pembinaan yang sedang dilaksanakan oleh yayasan pada ketika itu, atau pembayaran segera yang perlu dijelaskan apabila saya berada di luar negara,” katanya.

Semasa di peringkat pendakwaan, mahkamah diberitahu bahawa Ahmad Zahid dan keluarga mengambil 39 polisi insurans kenderaan bagi 20 kenderaan milik keluarganya termasuk 18 kenderaan mewah miliknya, antaranya BMW X5, Mini Cooper S, Mercedes Benz CLS350, BMW 320i (A), Toyota Land Cruiser dan motosikal BMW R1200 GS.

Ahmad Zahid berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya melibatkan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram, membabitkan berpuluh-puluh juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Pada 24 Jan lepas, mahkamah memerintahkan Ahmad Zahid membela diri terhadap kesemua pertuduhan selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie.

Perbicaraan sedang berlangsung di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah. – BERNAMA